KUALA LUMPUR – Pempengaruh yang juga suami kepada penyanyi Shila Amzah iaitu Ubai mengakui keputusannya untuk melakukan kerja sambilan sebagai penghantar barang adalah salah satu cara menghilangkan tekanan dan kebosanan.
Ubai atau nama penuhnya Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli, 28, masih belum terfikir untuk menjadikan kerja sebagai penghantar barang sebagai kerjaya tetap buat masa ini.
“Kalau bosan, saya buatlah Grab, kerja sebagai penghantar makanan. Tambahan pula sudah beli motor baharu, nak pergi ‘ride’ tidak boleh, jadi saya jadi penghantar barang.
“Jadi penghantar makanan ini hanya sekadar suka-suka. Kerja sendiri depan komputer dan hasilkan ‘storyline’ ini macam bosan dan adakalanya memilih untuk ambil cuti sendiri.
“Hantar barang ini dapat jumpa dan berborak dengan orang. Selepas berbual dan rasa lega, saya baliklah rumah sambung kerja,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media konsert Shila Amzah Kita 25 Tahun di sini, semalam.
Dia juga memberitahu, Shila menyokong penuh setiap perkara yang dilakukan selain mengakui lali dengan tanggapan masyarakat yang berpendapat golongan selebriti tidak sesuai melakukan kerja tersebut.
“Dia beritahu asalkan saya gembira, dia okey saja. Konsep kami sama, saya gembira — dia pun gembira.
“Sebab dalam stigma masyarakat mungkin ada pemikiran individu bergelar artis atau dikenali dalam televisyen atau media sosial perlu jaga standard.
“Macam saya, dibesarkan dalam sebuah keluarga yang normal dan sederhana. Jadi, selagi rezeki itu halal, tidak buat salah dan tidak kacau orang, saya okey saja,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia juga turut meleraikan tanda tanya ramai mengenai wujud dakwaan dia tidak bekerja dan menumpang hasil kerja Shila demi kelangsungan hidup.
“Sebenarnya benda ini sejak sebelum kahwin lagi, orang kata saya tumpang Shila dan kerja apa. Hakikatnya saya mula dengan dunia digital, beberapa stesen televisyen, aktif dalam media sosial sebelum mulakan produksi sendiri.
“Mungkin yang bertanya sebelum ini tak biasa dan kurang faham mengenai kerja ‘freelance’.
“Sebab itu dia orang tanya saya kerja apa sebab nampak beli macam-macam benda,” ujarnya.
Sebelum ini, Shila mengakui dia tidak kisah apabila Ubai melakukan kerja-kerja sampingan seperti servis penghantaran barang sekiranya
mempunyai waktu terluang.
Katanya, Ubai disifatkan sebagai seorang yang rajin bekerja dan tidak suka untuk mensia-siakan waktunya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





