KADANGKALA, hubungan antara menantu dan ibu mentua tidak semuanya indah. Bukan semua bertuah mendapat keserasian, dan salah percaturan, sengketa pula yang tiba.
Bagi pelakon, Elisya Sandha, dia juga bersetuju bahawa keikhlasan juga merupakan cara dia memikat ibu mentuanya iaitu Sheila Rusly.
Memasuki tahun kelima perkahwinan bersama suami, Uzair Haqimy Azman, genap lima tahun juga Elisya hidup berbumbungkan kasih ibu mentuanya, Sheila Rusly. Sejak awal lagi, dia memilih untuk jujur dan tidak berpura-pura dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Ini tahun kelima saya berkahwin dengan suami saya dan sudah lima tahun juga ibu mentua saya menjadi ibu mentua saya sekarang. Sebenarnya, cara untuk mengambil hati ini adalah keikhlasan. Apa sahaja yang mahu dilakukan, kita perlu ikhlas dan janganlah dibuat atas dasar terpaksa.
“Semasa saya belajar memasak dengan ibu mentua saya, itu memang saya seikhlas hati mahu belajar, sebab saya rasa, oh saya akan masak untuk anak dia. Kalau tidak sedap seperti masakan ibunya bagaimana. Jadi, saya belajar seikhlas hati belajar dan dia pula suka akan orang yang rajin dan suka belajar memasak. Keserasian kami bermula dari situ,” katanya.
Kerisauan itu memang ada bagi Elisya. Mana tidaknya, mahu pastikan rasa dan kesedapan masakan untuk sang suami itu sama seperti masakan ibunya sendiri.
Bagi Elisya, memasak secara tidak langsung mengikat hubungan mereka. Apatah lagi Sheila Rusly memang sinonim dengan rancangan Ketuk-Ketuk Ramadan dan terkenal dengan kehebatan air tangannya.
Hubungan mesra itu kekal hingga kini, cuma Elisya mengakui kekerapan mereka berkumpul sedikit terbatas disebabkan kesibukkan masing-masing.
“Namun kebelakangan ini, saya agak sibuk dengan anak-anak saya, ibu mentua saya pun sekarang dia suka melancong. Dia sudah bersara jadi dia mahu melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan semasa anak-anaknya masih kecil dahulu.
“Jadi fasa saya sekarang, saya sedang sibuk menjaga anak-anak dan masa saya bersama dia agak berkurangan sedikit,” katanya.
Dalam pada itu, bukan sahaja bab memasak, Sheila Rusly juga sangat memahami kerjaya Elisya sebagai seorang pelakon.
Pengalamannya sebagai orang lama dalam industri membuatkan dia sangat bersikap terbuka, termasuklah apabila Elisya mendapat watak yang agak sensitif dalam drama bersiri Madu atau Racun.
Semasa Elisya ditawarkan watak wanita pengganggu rumah tangga yang menjalinkan adegan ranjang bersama Aliff Aziz, Sheila Rusly menjadi orang pertama yang memberi sokongan.
Sheila Rusly langsung tidak menghalang, malah teruja mahu melihat hasil lakonan menantunya itu.
“Saya agak gementar pada mulanya semasa saya mendapat tawaran watak ini, saya memberitahu dia dahulu bahawa saya mendapat watak sebegini. Dia cakap menarik dan tidak sabar untuk menonton.
“Selepas itu, saya menunjukkan skrip dan suasana di belakang tabir kepada dia dan dia cakap ‘Oh menarik, sangat bagus, Mama tidak sabar mahu tengok’. Gementar itu memang kita gementar sebab iyalah dia lebih berpengalaman daripada saya, mungkin saya boleh mengasah bakat lebih banyak lagi untuk watak ini.
“Saya ini sebenarnya peminat ibu mentua saya. Saya lega apabila dia okay dan sangat menyokong. Perkara itu paling penting untuk saya sebab jika ada ahli keluarga saya yang tidak menyokong atau tidak setuju dengan apa-apa yang saya lakukan, saya akan jadi teragak-agak untuk melakukan sesuatu,” katanya menutup bicara.
Sumber – Utusan





