“MUNGKIN waktu itu saya terlalu beremosi, sekadar semua sudah reda, saya sudah matang,”
Demikian kata pelakon, Uqasha Senrose, menceritakan perubahan dirinya yang semakin tenang menjalani hidup selepas melalui proses perceraian bersama bekas suami, Kamal Adli. Ketika rumah tangga berada di hujung tanduk, Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, berada dalam keadaan yang bercampur-baur membuatkan banyak perkara dilakukan dengan beremosi.
Baginya, perkara itu sudah berlalu, tiada guna menyesali segala hantaran berbaur amarah, luahan perasaan yang dikongsikan pelakon itu di media sosial. Maklumlah, siapa yang boleh tenang ketika berada di dalam badai tekanan perkahwinan.
“Apa yang berlaku mengajar saya jadi lebih matang. Saya terima kesilapan yang lepas dan mahu fokus kepada memperbaiki diri. Tak perlu nak minta pengesahan daripada sesiapa sama ada kita betul atau salah. Saya silap dulu sebab terlampau emosional.
“Sekarang saya ada anak sekarang. Mahu mulakan hidup baharu dan besarkan dia dengan penuh kasih sayang.
“Internet tak boleh padam apa yang dah jadi. Jadisaya tidak mahu terlalu fikir tentang benda yang sudah lepas. Masa depan, saya mahu jadi ibu yang terbaik buat anak saya, Uqaira,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Walaupun rumah tangga bersama Kamal Adli hanya tinggal sejarah, namun Uqasha tidak mahu satu-satu anaknya, Hawra Uqaira, 2, kehilangan figura seorang ayah. Pelakon itu akan sedaya upaya memudahkan urusan Kamal berjumpa puterinya itu.
“Saya dan Kamal hanya berhubung atas dasar anak. Saya tidak rumitkan kerja dia, dia juga tidak rumitkan kerja saya. Apa saja untuk Uqaira, kami buat yang terbaik.
“Kami sudah gagal dalam perhubungan (sebagai pasangan), jadi kami cuba jadi bapa dan ibu yang terbaik buat Uqaira.
“Alhamdulillah, kami tahu apa yang terbaik untuk anak. Saya tiada apa mahu dibisingkan kerana apapun yang terjadi biarlah antara saya dan anak, asalkan Uqaira gembira,” katanya.
Wanita boleh jadi hitam, putih
Dalam perkembangan lain, Uqasha tampil membintangi karakter Azura, iaitu isteri yang dicurangi menerusi drama Madu atau Racun. Ketika penggambaran dilakukan hujung tahun lalu, Uqasha sedang melalui ujian rumah tangga namun berusaha untuk selalu profesional di set penggambaran.
“Saya redah sahaja. Kalau terlampau mendalami apa yang saya rasa di kehidupan peribadi untuk watak Azura, mungkin saya tak berjaya bawa. Jadi saya kena pisahkan mana satu Azura, mana satu saya. Cerita ini tentang Azura yang mana wanita boleh jadi hitam dan putih semula.
“Jadi, saya tidak bawa peribadi Uqasha dalam set. Tapi sebagai manusia, hari-hari mood kita bersilih ganti. Ada gembira, sedih, bosan. Alhamdulillah saya diberikan rakan gandingan pelako yang hebat seperti Aliff Aziz dan Elisya Sandha.
“Saya kagum dengan persembahan mereka berdua kerana tahu peranan masing-masing. Semestinya dibantu juga dengan pengarah, Eyra Rahman,” katanya.
Bagaimanapun, Uqasha tidak boleh menafikan tekanan yang dialami ketika penggambaran dapat juga dilihat menerusi tubuh badannya yang berubah sepanjang drama ini berjalan.
“Dalam cerita ini boleh tengok saya ‘chubby’ dan kemudian kurus. Ada babak saya nampak berisi, ada juga nampak kecil sebab terlalu nak buat terbaik.
“Bila saya dalami kesakitan Azura, sakit itu betul rasa. Kita cuba nak jadi terbaik namun hidup ada ujian. Cerita ini bukan tentang pakai tudung itu baik, atau nampak jahat itu selalu salah. Ini cerita kemanusiaan,” tambahnya.
Drama Malaysia Madu atau Racun akan mula bersiaran pada 14 Ogos 2026 di platform penstriman iQIYI.
Sumber – Utusan





