Tuesday, April 28, 2026
HomeHIBURANFestival Rain Rave, Banyak Kesan Buruk Dan Sosial Akan Berlaku – Achey

Festival Rain Rave, Banyak Kesan Buruk Dan Sosial Akan Berlaku – Achey

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon, Achey, tampil menyuarakan pendirian tegas dan tidak bersetuju dengan penganjuran festival Rain Rave yang dijadual berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dari 30 April hingga 2 Mei ini.

Menurut Achey, festival muzik air berskala besar itu dibimbangi boleh membawa pelbagai kesan negatif khususnya melibatkan isu sosial yang melampau selain dilihat tidak selari dengan budaya masyarakat tempatan.

“Secara peribadi, saya tidak menyokong sama sekali dan membantah program Rain Rave yang akan berlangsung di Bukit Bintang pada bulan Mei ini.

“Pada pandangan saya, banyak kesan-kesan buruk dan sosial yang akan berlaku. Saya minta maaf, mungkin ada rakan-rakan selebriti juga terlibat dalam program tersebut dan saya bukan nak menidakkan rakan-rakan selebriti yang lain.

“Cuma saya tidak menyokong program tersebut. Itulah pandangan saya secara peribadi,” katanya dalam satu hantaran video di Instagram.

Achey turut menjelaskan, pandangan tersebut disuarakan atas kapasiti dirinya sebagai rakyat Malaysia beragama Islam yang prihatin terhadap kesan jangka panjang terhadap masyarakat.

Katanya, penganjuran festival seperti itu secara besar-besaran berpotensi membuka ruang kepada gejala sosial yang tidak sihat serta bercanggah dengan norma dan budaya negara ini.

“Maaf jika pandangan dan pendirian saya salah. Saya meletakkan dan menyuarakan diri saya sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam kerana ia akan berkait dengan isu sosial yang melampau dan bukan budaya kita.

“Sebagai rakyat Malaysia, menganjurkan program begini secara besar-besaran, pada saya ia bukan sesuatu yang wajar untuk disokong,” ujarnya.

Rain Rave Water Music Festival 2026 merupakan festival muzik air pertama seumpamanya yang dianjurkan di negara ini dengan konsep hiburan berteraskan muzik, air, budaya dan gaya hidup moden.

Festival tersebut dijadual berlangsung selama tiga hari di sekitar Pavilion dan Bukit Bintang sempena sambutan Hari Pekerja serta sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Ia turut dikatakan dianjurkan bersama Tourism Malaysia bagi menarik pelancong tempatan dan antarabangsa serta merancakkan ekonomi setempat.
Bagaimanapun, penganjurannya menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan netizen yang mempersoalkan kesesuaian festival berkenaan, khususnya apabila melibatkan konsep hiburan air secara terbuka di kawasan tumpuan awam.

Malah, isu itu turut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila ada pihak menyifatkan festival tersebut tidak mencerminkan nilai budaya tempatan dan boleh memberi impak negatif kepada masyarakat, terutama golongan muda.

Dalam masa sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan menegaskan acara tersebut merupakan program tahunan pelancongan yang diadakan secara tersusun serta dipantau ketat, selain bertujuan merangsang ekonomi bandar Kuala Lumpur dan menyokong industri pelancongan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Kisah Saya Dijadikan Tesis Universiti, Perempuan Kena Ada Ilmu’

0
PETALING JAYA – Sedar hak, pelakon Puteri Sarah Liyana menegaskan golongan wanita perlu melengkapkan diri dengan ilmu agar tidak mudah dipijak, apatah lagi ketika...

CATEGORIES