ARAU – Sepasang suami isteri dari Taman Sri Wang Fasa 1, di sini menuntut pembelaan selepas bayi perempuan mereka berusia lapan bulan meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh pada 15 April lalu.
Pasangan, Mohamad Zaerwafar Che Mat Zaidin, 34, dan isterinya, Aisyawati Isa, 34, menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kematian bayi mereka, Aufa Zayyana.
Menurut Aisyawati, dia menerima panggilan daripada pengasuh terbabit kira-kira pukul 5.20 petang yang memaklumkan bayinya itu tidak sedarkan diri.
“Saya kemudiannya bergegas ke rumah pengasuh yang terletak kira-kira lima minit dari rumah saya dan mendapati bayi sudah tidak sedarkan diri serta kelihatan seperti mengalami sawan sebelum dibawa ke unit kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
“Keadaan anak kami ketika itu kritikal dan memerlukan pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada keesokan harinya akibat pendarahan beku di kepala.
“Selepas seminggu bertarung nyawa dan menjalani pembedahan tersebut, bayi kami kemudiannya disahkan meninggal dunia di HSB dan telah dikebumikan di Jeli, Kelantan,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini hari ini.
Aisyawati berkata, pada hari kejadian, anaknya berada dalam keadaan sihat dan ceria sebelum dihantar ke rumah pengasuh berkenaan.
Katanya, bayinya itu juga baru sebulan berada di bawah jagaan pengasuh tersebut dan sepanjang tempoh berkenaan, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau sebaliknya.
“Setiap hari saya hantar anak sekitar pukul 6.45 pagi dan ambil semula antara pukul 5.15 hingga 5.20 petang. Namun pada hari kejadian, saya ambil dia dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ini sangat berbeza kerana sebelum ini dia sentiasa gembira setiap kali nampak saya,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Zaerwafar berkata, pihak keluarga turut melantik peguam bagi mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes kematian bayinya itu.
Menurutnya, pengasuh terlibat juga memaklumkan bayi mereka itu hanya menangis sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri pada hari kejadian
“Laporan polis juga telah dibuat pada hari sama dan kami juga akan menyerahkan beberapa bukti penting bagi membantu siasatan. Kami berharap kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan dapat ditegakkan dalam anak kami,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





