KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan sebanyak 11,888 tempat duduk tambahan menerusi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan EMUPlus sempena perayaan Deepavali bulan depan.
KTMB dalam kenyataan berkata, perkhidmatan tren tambahan itu disediakan dari 5 hingga 9 November ini bagi memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga.
Menurutnya, dua perkhidmatan ETS tambahan akan beroperasi setiap hari bagi laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar dari 5 hingga 9 November ini.
“Sebanyak 3,160 tempat duduk tambahan disediakan bagi laluan berkenaan sepanjang lima hari operasi, termasuk kemudahan koc kelas perniagaan.
“Penjualan tiket bagi perkhidmatan ini akan dibuka pada 27 Oktober mulai pukul 12 tengah hari,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam kenyataan sama, KTMB berkata, empat perkhidmatan ETS tambahan setiap hari turut ditawarkan bagi laluan Johor Bahru Sentral (JB Sentral)-KL Sentral-JB Sentral dari 6 hingga 9 November ini.
Jelasnya, perkhidmatan tersebut menyediakan sebanyak 5,056 tempat duduk tambahan, manakala penjualan tiket bagi laluan berkenaan telah dibuka sejak 7 September lalu.
Selain itu, KTMB turut menawarkan 3,672 tempat duduk tambahan menerusi perkhidmatan EMUPlus yang menghubungkan Bandar Tasek Selatan, Ipoh dan Klang serta laluan sebaliknya pada tarikh tertentu antara 5 hingga 9 November ini.
“Penjualan tiket bagi perkhidmatan ini akan dibuka pada 27 Oktober mulai pukul 12 tengah hari,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket menerusi aplikasi KTMB Mobile, KITS Style atau laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my.
“Mereka juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.
“Para pengguna juga diingatkan untuk tiba 30 minit lebih awal di stesen, kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas,” pesan KTMB.
Sumber – KOSMO! ONLINE





