KALI terakhir muncul dalam drama Bukan Sekadar Lafaz 2 pada tahun lalu, pelakon dan penyanyi, Alif Satar, 35, menarik ‘brek’ buat sementara dalam bidang lakonan. Hiatus seketika beliau dari dunia drama dan perfileman menimbulkan pelbagai pertanyaan.
Alif sebenarnya mengambil tempoh bertenang. Ketika usianya yang semakin meningkat, timbul keinginan untuk menoktahkan pembabitan dalam mana-mana naskhah berunsurkan percintaan.
Ujar Muhammad Alif Mohd Satar, berilah peluang kepada pelakon lebih muda untuk membawakan watak sedemikian.
“Saya bukanlah memilih, tapi kalau boleh biarlah karakter yang saya bawa itu kena dengan imej dan umur saya sekarang. Kini saya merasakan diri tidak lagi sesuai untuk berlakon naskhah percintaan. Mungkin dahulu tidak menjadi masalah, tetapi sekarang tidak.
“Ramai rakan industri mengajak saya berlakon. Bukannya saya tak mahu, cuma masih menunggu karakter dan jalan cerita yang benar-benar sesuai,” katanya yang ditemui Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, baru-baru ini.
Disoal sama ada bersangkut dengan soal bayaran, Alif tidak meletakkan perkara itu sebagai perkara utama. Katanya, kematangan naskhah serta watak yang menjadi buruan.
“Bayaran bukanlah perkara nombor satu, ia soal kedua. Yang penting minat untuk menjayakan naskhah itu. Dan ia juga tentang masa serta jalan cerita yang memberi impak.
“Saya tak mahulah peminat yang lama menantikan kemunculan saya di kaca televisyen, kemudian mempersoalkan kenapa saya berlakon cerita yang tidak meninggalkan kesan.
“Kalau boleh saya nak terlibat dengan karya yang mendatangkan unsur positif, membuka minda. Bukannya karya sensasi, tambah pula banyak sangat isu berkaitan drama tempatan yang berlegar di media sosial sekarang ini.
“Jadi sejujurnya saya memang kena memilih watak, cuma kalau yang karakter yang kurang sesuai itu saya akan tolak secara baik,” kongsinya.
KEBERKATAN MASA
Dalam kesibukan menyusun jadual nyanyian, Alif juga terikat dengan banyak tanggungjawab termasuklah menguruskan syarikat penghantaran WExpress di Arab Saudi dan tugas sebagai rakan kongsi jenama produk daging DAEM selain menjadi pengacara bagi rancangan Innovathon Junior yang disiarkan di RTM.
Dia bersyukur kerana dikurniakan keberkatan waktu untuk melakukan banyak perkara dalam kehidupan seharian.
“Walaupun ini tugas, tapi saya tak rasa terbeban. Saya bukannya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang perlu dijaga pengawal peribadi kemana sahaja beliau pergi.
“Saya bebas kemana sahaja, tidak terkejar-kejar dalam menguruskan masa. Mungkin disebabkan minat. Alhamdulillah, masa saya diberkati dan saya amat bersyukur.
“Kadang bila diperhatikan jadual seharian, memang memenatkan. Tetapi saya tak rasa kepenatan itu. Malah dalam kesibukan, saya sempat meluangkan masa bersama anak-anak.
“Saya sedar banyak perkara boleh dilakukan sekiranya kita mengatur masa dengan sebaiknya,” jelasnya.
Bercakap soal minat anak-anak, Alif memaklumkan tidak akan menghalang, malah memberi sokongan penuh kepada bidang pilihan mereka termasuk kesenian.
“Perkara ini terpulang kepada ibu bapa masing-masing. Selama 20 tahun saya berkecimpung dalam industri seni, saya melihat ada masanya kita perlukan hiburan untuk meredakan tekanan kehidupan.
“Anak-anak saya ada minat tersendiri khususnya dalam bidang muzik. Mereka suka bermain piano, violin dan menyertai teater di sekolah. Apa pun, kita sebagai penjaga perlu menyokong minat mereka.
“Tapi sebagai bapa, saya tidaklah berdepan permintaan anak untuk masuk ke dalam bidang hiburan namun sekiranya mereka berminat, saya akan menyokong. Apa pun yang penting sebagai orang Islam, kita kena terapkan apa yang menjadi tuntutan,” kongsinya.
Alif mendirikan rumah tangga bersama Shadila Halid pada 15 September 2014 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat cahaya mata termasuk Alisha Anugerah, Ariana Mecca, Muhammad Ali, dan Aleyya Fajr.
Sumber – Utusan





