KUALA LUMPUR – Penyanyi Amira Othman, 33, belum bersedia mendedahkan wajah anak sulungnya, Muhammad Jarir Umar, kepada umum demi menjaga privasi dan keselamatan si kecil.
Amira berkata, dia dan suami, Fattah Amin tidak berniat menyembunyikan Jarir daripada peminat, sebaliknya, memilih untuk tidak terlalu berkongsi mengenai anak mereka di media sosial buat masa ini.
“Insya-Allah, saya ikut Fattah. Kalau Fattah rasa sudah boleh dedahkan wajah Jarir, kita akan dedahkan. Sebenarnya, kami tidak mahu sembunyikan anak.
“Kami bawa dia ke mana-mana, cuma buat masa sekarang, kami rasa belum sesuai berkongsi lebih banyak mengenai dia demi kebaikan dan keselamatannya.
“Insya-Allah, apabila tiba waktunya, kami akan kongsi kepada peminat,” katanya ketika ditemui pada sidang media ketiga Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 di sebuah hotel di sini, semalam.
Amira berkata, dia dan Fattah mahu Jarir menikmati zaman kanak-kanak seperti anak lain tanpa terlalu terdedah kepada perhatian umum.
“Pada saya, biarlah dia melalui kehidupan seperti kanak-kanak lain. Mudah-mudahan dia sentiasa dipelihara dan tidak dibabitkan dengan perkara yang tidak baik.
“Maklumlah, ibu bapanya ada ‘haters’, jadi saya harap jangan libatkan anak dalam perkara seperti itu. Insya-Allah, kita doakan yang terbaik untuk dia,” katanya.
Mengulas kemungkinan ada peminat mengambil gambar Jarir dan berkongsinya di media sosial, Amira mengakui perkara itu bukan sesuatu yang boleh dikawal sepenuhnya.
“Kalau ada yang ternampak kami bersama anak, saya rasa mereka faham kerana kami memang belum bersedia mendedahkan wajah Jarir.
“Tetapi, kalau saya sudah mendedahkan wajah Jarir dan ada yang mengambil gambar serta berkongsi di media sosial, kita tidak boleh kawal perkara itu.
“Apa-apapun, saya yakin peminat faham mengenai privasi, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Jadi, saya fikir perkara itu tidak akan menjadi isu. Mudah-mudahan, yang baik-baik sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Amira menyifatkan Fattah sebagai bapa penyayang yang menjadi sumber kekuatan dan sokongan emosinya dalam mengharungi fasa baharu bergelar ibu.
“Fattah memang ayah yang penyayang. Kalau tengok hubungan dia dengan Fatimah pun, kita sudah tahu mereka memang ada ‘bonding’ yang baik dan sangat rapat.
“Alhamdulillah, saya fikir semua ayah sayangkan anak dan itu memang lumrah seorang bapa,” katanya.
Sumber – Berita Harian





