KUALA LUMPUR: Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang bakal menjengah pawagam di seluruh negara, lusa, bukan sahaja menyajikan aksi hebat dan jalan cerita matang, malah tiga lagu runut bunyi (OST) epik hasil kolaborasi Datuk M Nasir, Nidji dan Hael Husaini.
Ketiga-tiga lagu ini bukan sekadar pelengkap filem, malah memainkan peranan penting dalam membina emosi, momentum dan nilai positif yang menjadi nadi kepada penceritaan EATM2.
Daripada semangat perjuangan peribadi, persahabatan sejati hinggalah semangat untuk bangkit menyahut cabaran, setiap lagu mencerminkan pelbagai lapisan tema yang menjadikan filem animasi yang dinanti ramai tahun ini, lebih bermakna dan berkesan.

Primeworks Studios (PWS) dalam kenyataan menyebut, single Hanya Kamu dendangan M Nasir dicipta Azri Yunus dengan gandingan lirik Azri, LunaAyla dan M Nasir sendiri. Lagu penuh semangat ini menyeru generasi muda untuk meneguhkan keyakinan diri dan bangkit menjadi versi terbaik diri mereka.
“Single Hanya Kamu disampaikan menerusi alunan muzik elektronik yang berpadu dengan vokal penuh jiwa M Nasir.
“Lagu ini mengangkat tema perjuangan peribadi dan ketabahan waja sebagai sumber kekuatan dalam kegelapan, sejajar dengan konflik emosi yang dilalui oleh Ejen Ali, iaitu watak utama dalam filem ini,” kata kenyataan itu.
PWS menambah, single Teman Sejati pula disumbangkan band terkenal Indonesia, Nidji, iaitu single dipetik daripada album mereka, Manifestasi Hati yang menemui peminat, Januari lalu.
“Pemilihan lagu ciptaan Andi Ariel Harsya dan terbitan Petra Sihombing ini mendukung mesej universal dan menepati tema penceritaan yang diolah dalam EATM2.
“Dengan irama pop yang mesra telinga dan lirik yang menyentuh perasaan, lagu ini menjadi ‘anthem’ kepada ikatan tulus yang menyatukan ejen perisik dalam menghadapi cabaran besar dan membawa maksud yang mendalam tentang ertinya sebuah persahabatan,” katanya.
Penuh semangat dan inspirasi, single Penjuara karya Hael dan Iqie Hugh bukan sekadar lagu, sebaliknya, suatu pernyataan jiwa.
“Menggabungkan elemen electro pop moden dengan lirik yang membakar semangat, lagu ini menggambarkan perspektif Ejen Ali sebagai ‘penjuara’, iaitu pejuang yang tidak pernah mengalah dan tampil berani menyahut cabaran permainan mental daripada Neonimus, iaitu antagonis utama dalam filem EATM2.
“Dengan beat yang catchy dan mesej mengenai keyakinan diri, lagu ini bakal menjadi siulan peminat Ejen Ali yang sentiasa bersedia untuk ‘lari’ ke hadapan,” katanya.
Sumber – Berita Harian





