Saturday, June 13, 2026
HomePERNIAGAANProjek Pelebaran Lebuhraya KL-Karak Bermula Suku Kedua 2025

Projek Pelebaran Lebuhraya KL-Karak Bermula Suku Kedua 2025

KUALA LUMPUR: AFA PRIME Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai ANIH Bhd akan memulakan projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak pada suku kedua 2025.

Ia sebahagian daripada dua inisiatif infrastruktur utama pemegang konsesi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) itu yang bertujuan meningkatkan keselamatan lebuh raya, mengurangkan kesesakan, serta memperkukuh ketahanan terhadap impak perubahan iklim.

Satu lagi inisiatif, iaitu Projek Mitigasi Banjir kini sedang berjalan di sepanjang LPT1.

Projek Pelebaran Lebuhraya KL-Karak meliputi jajaran dari KM19.2 hingga KM64.5, antara Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong.

Selaras dengan peningkatan jumlah trafik yang berterusan, terutamanya pada hujung minggu dan musim perayaan, projek ini dirancang untuk memenuhi keperluan trafik masa hadapan, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan serta kelancaran aliran trafik.

Dengan jangka masa pembinaan selama 48 bulan, kerja-kerja persediaan termasuk pemotongan cerun, penaiktarafan sistem perparitan, mitigasi banjir, dan pembinaan tembok penahan kini sedang dijalankan.

Pengarah Eksekutif AFA PRIME, Ir Vijayaraj, berkata projek pelebaran ini bukan sahaja menambah kapasiti lebuh raya, tetapi penilaian semula cara lebuh raya harus berfungsi demi rakyat dari segi kebolehpercayaan, keselamatan, dan daya tahan jangka panjang.

“Matlamat kami adalah untuk membina lebuh raya yang mampan dan bersedia untuk keperluan masa hadapan. Kami memperkenalkan sistem pemantauan masa nyata, perancangan kontingensi, dan protokol tindak balas kecemasan bagi memastikan pengguna jalan raya kekal selamat dan mendapat maklumat yang tepat walaupun semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ciri utama projek ini merangkumi penambahan satu lorong bagi setiap arah serta pelebaran bahu jalan daripada 2.5 meter kepada tiga meter di kedua-dua belah, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Ini akan membolehkan bahu jalan diaktifkan secara fleksibel sebagai lorong pintar pada waktu puncak, sekali gus menambah bilangan lorong operasi dan meningkatkan kelancaran aliran trafik dengan ketara.

Bagi memperkukuhkan tindak balas kecemasan dan mengelakkan insiden sekunder, projek ini turut merangkumi penambahan lapan petak kecemasan baharu.

Kawasan ini akan membolehkan kenderaan yang mengalami kerosakan dialihkan dengan segera dari lorong aktif, sekali gus mengurangkan gangguan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Memandangkan Terowong Genting Sempah merupakan kawasan trafik tinggi, kerja-kerja pembinaan di kawasan ini akan dihadkan kepada luar waktu puncak sahaja.

Pencahayaan waktu malam akan dipertingkatkan dengan pemasangan lampu limpah, manakala lampu sedia ada akan disusun semula bagi memastikan keberkesanan maksimum selepas projek disiapkan.

Seiring dengan projek pelebaran KLK yang akan datang, AFA PRIME telah memulakan kerja-kerja mitigasi banjir di sepanjang LPT1 bagi meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan memastikan operasi lebuh raya berjalan lancar tanpa gangguan sewaktu cuaca ekstrem.

Usaha berterusan ini merangkumi penilaian risiko menyeluruh, penaiktarafan sistem perparitan, serta penambahbaikan infrastruktur bagi mengurangkan risiko banjir kilat sepanjang laluan terbabit.

Untuk menguruskan trafik dengan berkesan sepanjang fasa pembinaan, AFA PRIME melantik Edgenta PROPEL Bhd sebagai rakan kongsi pengurusan trafik.

Dengan pengalaman yang kukuh dalam operasi lebuh raya, syarikat ini akan mengerahkan aset keselamatan termasuk penghadang, kon, papan tanda, pengawal lalu lintas, dan pasukan rondaan.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘7 Tahun Tak Kerja, Saya Tak Nak Susahkan Isteri-Isteri’

0
KUALA LUMPUR – Tujuh tahun tidak aktif dalam industri seni dan hiburan dengan segala wang simpanan telah habis digunakan, penghibur versatil Salih Yaacob mengakui...

CATEGORIES