KUALA LUMPUR – Restoran Village Park yang terkenal dengan hidangan Nasi Lemak Ayam Goreng hari ini melancarkan empat produk makanan sedia dimakan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.
Empat produk berkenaan ialah Sambal Petai, Sambal Ikan Bilis, Signature Kaya dan Musang King Durian Kaya yang dibangunkan dengan kerjasama ITP Foods.
Pelancaran yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menandakan lembaran baharu dalam perjalanan Village Park selepas 24 tahun menyajikan hidangan kepada pelanggan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh pemilik Village Park, Dato’ Seri Dr Mohd Shamil Ngoh Abdullah dan Datin Seri Siti Aishah Chong bersama tetamu kehormat serta kenamaan.
Acara itu turut menampilkan sesi menandatangani plak kenang-kenangan dan sesi merasa produk baharu yang menghimpunkan wakil daripada sektor makanan, pelancongan dan halal Malaysia.
Mohd Shamil berkata, idea menghasilkan rangkaian produk tersebut tercetus daripada maklum balas pelanggan yang bekerja, belajar atau menetap di luar negara dan merindui cita rasa Village Park.
Menurutnya, produk itu bukan sekadar membawa nama Village Park, malah dihasilkan bagi mengekalkan cita rasa dan kenangan yang sering dikaitkan pelanggan dengan restoran berkenaan.
“Kami berharap setiap balang yang dibuka di rumah dapat mengembalikan rasa dan perasaan yang tidak asing kepada pelanggan,” katanya.
Kesemua produk berkenaan dihasilkan menggunakan bahan yang dipilih dengan teliti, antaranya ikan bilis mata biru, cili segar, bawang, telur, santan dan gula.
Menurut Village Park, empat produk tersebut tidak menggunakan bahan pengawet, pewarna atau perisa makanan tiruan.
Sambal Petai Village Park menggabungkan petai yang telah dikupas, bawang segar dan ikan bilis mata biru, manakala Sambal Ikan Bilis pula mengetengahkan cita rasa sambal tradisional Malaysia.
Signature Kaya dihasilkan menggunakan daun pandan segar, telur dan santan menerusi proses memasak secara perlahan selama kira-kira lapan jam.
Musang King Durian Kaya pula menggabungkan isi durian Musang King bersama telur dan santan serta turut melalui proses memasak selama kira-kira lapan jam.
Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, makanan merupakan aspek penting dalam pengalaman pelancongan kerana pengunjung bukan sahaja meneroka destinasi, malah mengenali budaya, warisan dan cita rasa Malaysia.
Menurutnya, jenama tempatan seperti Village Park memainkan peranan dalam memperkenalkan budaya makanan negara kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, halal bukan sekadar pensijilan, sebaliknya melambangkan komitmen terhadap kualiti, integriti, ketelusan dan keyakinan pengguna.
Koleksi produk Village Park itu telah melalui proses pendaftaran halal sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat terhadap kualiti serta pematuhan keperluan berkaitan sepanjang proses pembangunan dan pengeluaran.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat; bekas Ketua Polis Negara ke-11, Tan Sri Dato’ Sri Mohd Fuzi Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif ITP Foods Sdn Bhd, William Koh.
Mohd Fuzi berkata, beberapa jenama tempatan telah berkembang menjadi lebih daripada sekadar sebuah perniagaan kerana turut menjadi sebahagian daripada kehidupan, kenangan dan komuniti masyarakat.
Menurutnya, sambal dan kaya mungkin kelihatan seperti produk yang ringkas, namun makanan sering membawa kenangan mengenai keluarga, rumah dan tempat seseorang dibesarkan.

Village Park turut memperkenalkan pratonton rangkaian sambal akan datang yang merangkumi Sambal Ijo, Sambal Cili Pan Mee dan Sambal Ayam Gepuk.
Rangkaian baharu itu dijangka diperkenalkan secara berperingkat, manakala maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi jualan akan diumumkan kemudian.
Koleksi produk Village Park kini boleh didapati di Restoran Village Park, cawangan Village Grocer dan menerusi TikTok Shop ITP Foods.
Bagaimanapun, Musang King Durian Kaya hanya ditawarkan di cawangan Village Grocer terpilih.
Ditubuhkan pada 2002 di Petaling Jaya, Village Park menyajikan lebih 10,000 pinggan nasi lemak setiap hari di premisnya dan dikenali menerusi hidangan Nasi Lemak Ayam Goreng.





