KUALA LUMPUR – Pelakon Azeva Natassha, 25, memohon maaf atas penampilannya yang dianggap mencolok mata dalam filem sulung lakonannya, Bisikan Nafsu.
Azeva berkata, ketika menjalani penggambaran, dia baru pulang selepas menuntut di Australia dan masih terbawa-bawa dengan gaya hidup di negara itu.
Sehubungan itu, Azeva memohon maaf kepada peminat yang bakal menonton filem terbitan Hello Production Sdn Bhd itu kerana tidak mahu mereka terkejut melihat penampilannya.
“Saya mengaku memang seksi dalam filem itu. Saya sudah banyak kali beritahu ketika sesi siaran langsung bahawa penggambaran dibuat sebaik saya pulang dari Australia.
“Jadi, saya masih terpengaruh dengan budaya di sana dan terus terang, saya minta maaf. Itu sahaja yang mampu saya lakukan.
“Saya sedar saya seksi dan banyak buat dosa. Saya juga sedar filem itu akan meninggalkan jejak digital sampai bila-bila.
“Sejak hari pertama penggambaran lagi saya sedar filem itu akan kekal sampai bila-bila. Bagaimanapun, saya sudah bertaubat.
“Walaupun belum menutup aurat dengan sempurna, saya tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.
Mengulas babak ranjang bersama Zul Huzaimy yang tular di media sosial hingga mengundang kecaman, Azeva berkata, dia sedar adegan itu boleh mengundang pelbagai reaksi kerana masyarakat Malaysia cukup sensitif terhadap perkara sedemikian.
Bagaimanapun, katanya, kontroversi berkenaan sebahagian daripada strategi untuk mencetuskan perbualan mengenai filem sulungnya itu.
“Saya faham, di Malaysia memang sensitif sangat dengan adegan sedemikian. Tapi seperti yang anda semua sudah tengok tadi, tidak ada apa-apa pun.
“Kita buat benda itu supaya orang bercakap. Inilah matlamat kami sebagai orang bisnes, kami mahu orang bercakap mengenai filem ini.
“Jadi, kalau nak tahu apa yang berlaku dan kenapa adegan itu dikaburkan di media sosial, kena datang tonton filem ini untuk tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Selain Azeva dan Zul Huzaimy, filem arahan Riza Baharudin itu turut dibintangi Aniq Suhair, Aleeza Shadan, Raja Azmi, Ezaty Abdullah dan Watie Sadali, selain penampilan istimewa bapanya, Ameng Spring.
Bisikan Nafsu akan menjengah lebih 70 panggung wayang di seluruh negara mulai 1 Oktober ini.
Filem Bisikan Nafsu mengisahkan Nadia lakonan Azeva yang kehidupannya berubah selepas menjadi mangsa perbuatan keji bapa tirinya, UR, lelaki yang dikenali dengan imej ustaz romantik lakonan Zul Huzaimy.
Sumber – Berita Harian





