KEMAMAN – Sepasang suami isteri cedera selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh seekor gajah di Kilometer 160, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bandar Baru, malam semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, Amirul Afiq Aazmi, 31, dan isterinya dalam lingkungan 30-an, cedera ringan manakala Perodua Ativa mereka rosak teruk.
Difahamkan, gajah liar terbabit dipercayai haiwan sama ditemui penduduk, yang berkeliaran di sekitar lokasi kemalangan sejak beberapa hari lalu.
Sebelum kejadian, kenderaan dinaiki pasangan itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, gajah dipercayai tiba-tiba melintas menyebabkan kenderaan dinaiki merempuh haiwan terbabit.
Sebuah lagi kenderaan, iaitu Perodua Myvi yang berada di belakang, juga gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang kenderaan dinaiki mangsa.
Kedua-dua mangsa dikeluarkan orang ramai dari kenderaan yang remuk, sebelum dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli ketika di hubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Sumber – Berita Harian





