SHAH ALAM – Management and Science University (MSU) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda pembangunan mampan menerusi penganjuran SDG-ESG Synergy Symposium: Leading Change for People, Planet and Prosperity dengan kerjasama Times Higher Education (THE).
Simposium dua hari yang berlangsung pada 3 dan 4 September lalu di Performing Arts Theatre (PAT), kampus induk MSU, menghimpunkan pemimpin dan pakar institusi pendidikan tinggi tempatan serta antarabangsa, kerajaan, industri dan pemegang taruh.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha menggembleng Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG) bagi menghasilkan perubahan yang bermakna dan mampan.
Presiden dan Pengasas MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, merasmikan simposium berkenaan.
Turut hadir, Pro-Canselor MSU, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Zaini Ujang yang menyertai sesi perbincangan berkaitan tadbir urus berimpak.
Antara pembentang ialah Presiden rantau Asia Pasifik (APAC) Times Higher Education, Mei Mei Lim; Pengarah Bahagian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Industri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Shireen Jasmin Ali; Pengarah Urusan, Strategi dan Operasi AFFIN Group, Jozaimah Johan Ali; Pengarah Eksekutif Tanggungjawab Sosial dan Penglibatan Sivik University of Manchester, Dr Julian Skyrme; serta Pro-Naib Canselor Western Sydney University, Prof Dr Amir Mahmood.
Naib Presiden Penyelidikan MSU, Prof Dr Norfilza Mohd Mokhtar dan Naib Presiden Kanan Jaringan Industri dan Keusahawanan MSU, Prof Dr Abdul Jalil Ghazali, turut berkongsi pandangan dalam simposium itu.
Mereka disertai pakar bidang kelestarian dan tadbir urus daripada Universiti Sains Malaysia (USM), sektor kesihatan serta pihak berkuasa tempatan.
Berteraskan subtema amalan ESG, impak alam sekitar, impak sosial dan impak tadbir urus, program itu turut merangkumi sesi tadbir urus berimpak, plenari kelestarian, segmen impak sosial dan alam sekitar serta perbincangan meja bulat.
Komitmen MSU terhadap agenda pembangunan mampan turut diterjemahkan menerusi 950 inisiatif berkaitan SDG yang didokumentasikan antara 2022 hingga 2025, termasuk 81 projek antarabangsa dan 92,000 penglibatan komuniti.
Menerusi Community Outreach Programme (COP), universiti itu turut menyantuni 2,408 keluarga dalam tempoh 2023 hingga 2025, selain menyediakan biasiswa berjumlah RM50 juta setahun melalui Yayasan MSU bagi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti.
Inisiatif penglibatan komuniti MSU turut merangkumi program vaksinasi COVID-19 yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 individu pada 2021.
Dalam pada itu, MSU mencatat pencapaian terbaiknya dalam Times Higher Education Sustainability Impact Rankings 2026 apabila menduduki tangga ke-88 dunia.
Universiti berkenaan turut menduduki tempat ketiga dunia bagi SDG 5: Kesaksamaan Gender, ke-29 bagi SDG 4: Pendidikan Berkualiti, ke-39 bagi SDG 1: Tiada Kemiskinan dan ke-66 bagi SDG 17: Kerjasama demi Matlamat.
Pencapaian itu mencerminkan impak pendidikan, penyelidikan, amalan institusi dan penglibatan komuniti MSU dalam menyokong agenda pembangunan mampan.
Menerusi penganjuran simposium berkenaan, MSU terus memperkukuh pendekatan terhadap pendidikan holistik, penyelidikan gunaan, penglibatan industri, keusahawanan dan kerjasama antarabangsa.
Ekosistem pembelajaran multidisiplin yang diterapkan universiti itu turut menghubungkan pengetahuan akademik dengan amalan dunia sebenar, sekali gus memberi ruang kepada pelajar, penyelidik dan rakan industri meneroka penyelesaian praktikal terhadap cabaran alam sekitar dan sosial.
Pendekatan itu juga menyokong usaha melahirkan graduan seimbang, kompeten dan berfikiran global, selari dengan keperluan kepemimpinan bertanggungjawab serta pembuatan keputusan beretika.
Dengan menghimpunkan perspektif akademia, kerajaan dan industri, MSU berharap kerjasama yang terjalin dapat memperkukuh inovasi, kemajuan inklusif serta usaha menterjemahkan komitmen kelestarian kepada impak lebih bermakna demi manusia, planet dan kemakmuran.
Sumber – Berita Harian





