KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) mengeluarkan teguran awam terhadap tiga bekas perunding skim unit amanah (UTS) dan skim persaraan swasta (PRS) susulan salah laku serta pelanggaran Peraturan Disatukan FIMM (FCR).
FIMM dalam kenyataan berkata, ketiga-tiga bekas perunding itu turut didapati melanggar kod etika dan peraturan tatakelakuan profesionalnya.
Bekas perunding UTS Malayan Banking Bhd, Mohd Nur Aliff Hasroni, didapati gagal memberikan penerangan jelas mengenai ciri-ciri dan caj jualan bagi deposit tetap yang digabungkan dengan pelaburan sukuk Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) kepada dua pelabur, selain memalsukan tandatangan mereka.
Susulan itu, beliau dihalang daripada mendaftar dengan FIMM selama tiga tahun berkuat kuasa 5 Ogos 2026 dan dikenakan teguran awam.
Bekas perunding UTS dan PRS Principal Asset Management Bhd, Nor Azlina Omar, pula didapati mengemukakan tujuh borang penebusan UTS yang mengandungi tandatangan pelabur yang dipalsukan.
Beliau turut didapati melakukan tujuh penebusan UTS tanpa kebenaran berjumlah RM163,963.82 daripada akaun pelaburan seorang pelabur.
Menurut FIMM, Nor Azlina juga memperoleh akses kepada akaun bank pelabur menerusi kad mesin juruwang automatik (ATM) serta kemudahan perbankan dalam talian pelabur berkenaan.
Beliau turut didapati menyalahgunakan wang sebanyak RM79,700 antara 27 Disember 2018 hingga 21 Mac 2019.
Sehubungan itu, Nor Azlina dilarang daripada mendaftar dengan FIMM pada masa akan datang dan dikenakan teguran awam.
Sementara itu, bekas perunding UTS Public Mutual Bhd, Mohamad Firdaus Ahmad, didapati menerima wang tunai RM15,000 daripada seorang pelabur bagi pelaburan UTS serta RM1,000 daripada seorang lagi pelabur yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya.
Mohamad Firdaus turut didapati menyalahgunakan wang yang diterima daripada pelabur dan mengemukakan dokumen pelaburan palsu kepada mereka.
Beliau dilarang daripada mendaftar dengan FIMM selama lima tahun berkuat kuasa 5 Ogos 2026 dan dikenakan teguran awam.
“Keputusan oleh jawatankuasa disiplin itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor yang berkaitan dengan kes berkenaan.
“Teguran awam pula dikenakan bagi memberi mesej yang jelas bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Langkah ini bertujuan menghalang perunding UTS dan/atau PRS daripada melakukan sebarang salah laku dan bagi mengingatkan mereka mengenai kepentingan mematuhi peraturan FIMM semasa memasarkan dan mengedarkan UTS dan/atau PRS di Malaysia bagi melindungi kepentingan orang awam yang melabur,” katanya.
Sumber – Berita Harian





