Friday, July 24, 2026
HomeBERITAKBS Luncur Kempen Antibuli Perkasa: Henti Buli, Mula Peduli

KBS Luncur Kempen Antibuli Perkasa: Henti Buli, Mula Peduli

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, hari ini meluncurkan Kempen Antibuli PekaRasa: Henti Buli, Mula Peduli, sebuah gerakan nasional di bawah inisiatif Rakan Muda yang bertujuan membudayakan kepekaan, keberanian untuk bertindak secara selamat serta menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia, bagi membanteras budaya buli.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dato’ Rahimi Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Puan Azura Abidin dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), saudara Fazreen Fauzi.

Peluncuran kempen ini mencerminkan komitmen KBS menerusi JBSN dalam memperkukuh peranan belia sebagai ejen perubahan untuk membina masyarakat yang lebih selamat, inklusif dan saling menghormati, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 serta Pelan Tindakan Pembangunan Belia 2035. Kempen ini digerakkan dengan objektif seperti berikut:

  • Meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman belia terhadap isu buli serta impaknya terhadap kesejahteraan individu dan masyarakat;
  • Memupuk nilai keprihatinan, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan belia bagi membentuk komuniti yang saling menghormati, prihatin dan saling menyokong;
  • Memperkasa belia untuk bertindak secara proaktif dalam mencegah, mengenal pasti dan menangani insiden buli, tanpa hanya menjadi pemerhati; dan

Isu buli kini tidak lagi terbatas di institusi pendidikan, malah turut berlaku di tempat kerja, dalam komuniti dan di alam siber. Justeru, KBS mengambil pendekatan proaktif dengan memperkasa golongan belia untuk menjadi pemangkin kepada budaya saling menghormati, saling menyokong serta berani bertindak dalam mencegah dan menangani perlakuan buli.

Kempen ini dilaksanakan menerusi kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), disokong oleh Yayasan MyPrihatin sebagai rakan strategik dan pelaksana, serta dibimbing oleh pakar pencegahan jenayah, Dr. Shamir Rajadurai, selaku Penasihat Pakar PekaRasa.

Pelaksanaannya merangkumi siri jelajah ke sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT), program kesedaran di tempat kerja, pengisian menerusi program-program Rakan Muda serta kempen digital di pelbagai platform media sosial bagi memperluaskan kesedaran kepada masyarakat.

Pada majlis yang sama, YB Menteri turut melancarkan antibuli.my, platform digital rasmi Kempen Antibuli PekaRasa: Henti Buli, Mula Peduli yang menyediakan maklumat berkaitan langkah tindakan awal, akses kepada bantuan serta sokongan kepada individu yang berhadapan dengan situasi buli. Platform ini dijangka menjadi pusat rujukan sehenti yang memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat yang sahih, sekali gus menggalakkan tindakan awal dalam mencegah dan menangani isu buli.

KBS percaya bahawa usaha membanteras budaya buli memerlukan komitmen dan kerjasama seluruh lapisan masyarakat, termasuk ibu bapa, pendidik, majikan, pertubuhan masyarakat, sektor swasta serta golongan belia sendiri. Melalui kempen ini, KBS berharap lebih ramai rakyat Malaysia tampil sebagai individu yang peka, berani bertindak serta memainkan peranan dalam membantu dan melindungi mangsa buli, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, inklusif dan sejahtera untuk semua.

Sekalung penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada semua rakan strategik dan penaja yang telah menyokong pelaksanaan Kempen Antibuli PekaRasa: Henti Buli, Mula Peduli iaitu Gamuda Land, Touch ‘n Go, Siti Khadijah, Ortuseight, ZUS Coffee, Vircle dan Nasken Coffee. Sokongan daripada entiti korporat dan sektor swasta ini membuktikan bahawa usaha membanteras budaya buli merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen serta kerjasama menyeluruh daripada seluruh ekosistem masyarakat.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh diajukan kepada JBSN melalui talian 03-8871 3611 atau e-mel jbsn@kbs.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Tak Campur Urusan Anak Menantu, Saya Mentua Dari Syurga’ – Che...

0
PETALING JAYA – Bukan jenis gemar mencampuri urusan rumah tangga anak, pelakon dan usahawan Rozita Che Wan mengakui lebih selesa menjadi ibu mentua santai...

CATEGORIES