PUTRAJAYA, 22 Julai 2026 – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) meneruskan komitmen memperkasa budaya kesukarelawanan mahasiswa di peringkat antarabangsa menerusi pelaksanaan YSS Students Volunteer Mission: Green Summer Volunteer Campaign Vietnam 2026 yang melibatkan penyertaan seramai 48 orang sukarelawan siswa daripada 41 buah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia.
Misi yang berlangsung dari 18 Julai hingga 21 Ogos 2026 ini merupakan kesinambungan hubungan strategik antara YSS dan Vietnam yang telah terjalin sejak tahun 2013 melalui penglibatan dalam Green Summer Volunteer Campaign (GSVC), sebuah program anjuran Kesatuan Belia Bandar Ho Chi Minh (Ho Chi Minh Youth Union) sejak tahun 1994. Program ini melibatkan penyertaan lebih daripada 100,000 orang belia dan sukarelawan universiti setiap tahun bagi melaksanakan pelbagai aktiviti berteraskan kesukarelawanan dan pembangunan komuniti selama sebulan.
Pada tahun ini, para sukarelawan siswa akan dihantar ke tiga (3) buah lokasi iaitu Kim Long Commune, Phu Loi Ward dan Trung My Tay Ward bagi menjalankan kerja sukarelawan bersama-sama dengan sukarelawan di Vietnam. Selain itu, para sukarelawan Malaysia turut berpeluang mendekati komuniti tempatan termasuk komuniti Orang Asli Cho Ro, salah satu komuniti etnik asal di Vietnam, melalui aktiviti pertukaran budaya dan penglibatan bersama masyarakat setempat.
Antara projek utama yang telah dikenal pasti sepanjang pelaksanaan misi ini ialah projek membina rumah persahabatan dan taman belia, melukis mural, pemasangan taman permainan, aktiviti menanam pokok serta pelaksanaan kelas pembelajaran bahasa inggeris bersama komuniti setempat.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara berkata, “Sejak tahun 2013, YSS telah menghantar seramai 562 orang sukarelawan siswa untuk menyertai misi kesukarelawanan di Ho Chi Minh City, Vietnam. Kerjasama berterusan ini mencerminkan peranan YSS dalam memperkukuh hubungan rakyat antara Malaysia dan Vietnam melalui pendekatan kesukarelawanan serta diplomasi rakyat (people-to- people diplomacy).
Tambah beliau, “Semangat kesukarelawanan yang diterapkan dalam kalangan belia melalui program ini bukan sahaja membentuk generasi yang prihatin, berjiwa besar dan bertanggungjawab, malah turut menyokong aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat dan kesejahteraan. Misi seperti ini menjadi platform untuk belia menghayati kepelbagaian budaya, mengukuhkan semangat perpaduan serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti di peringkat antarabangsa.
Misi tahun ini turut melibatkan penyertaan 45 orang sukarelawan antarabangsa yang terdiri daripada 15 orang sukarelawan dari Indonesia serta 30 orang sukarelawan dari Laos dan Cambodia, sekali gus memperkukuh jaringan kesukarelawanan serantau serta semangat pertukaran budaya dalam kalangan belia ASEAN.





