KOTA TINGGI: Sampai mati pun saya akan kenang jasa, luah seorang ibu tunggal. Dari Kampung Singapura, Tanjung Sedili di sini selepas terpilih menjadi salah seorang penerima bantuan Program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan (PJM KEMENTAH) bagi tahun 2024.
Natinah Mustajab, 68 berkata dia yang menetap di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sini berhasrat untuk menyambung bahagian hadapan rumahnya dan membina sebuah bilik, namun tertangguh ekoran masalah kewangan.
Katanya, impiannya adalah untuk memberikan keselesaan buat anak-anaknya memandangkan rumah PPRT yang didiami sekarang hanya mempunyai dua buah bilik.
“Sudah separuh binaan naik namun tertangguh sejak tiga tahun lalu. Hendak upah orang dan beli barang tak mampu.
“Makcik bersyukur sangat memang tak tercakap sebab selama ini terfikir tak mampu biarlah sahaja rumah begitu tidak siap janji ada tempat berteduh.
“Baru-baru ini pihak kepimpinan ada datang ambil nama saya katanya terpilih untuk terima bantuan tetapi masa itu saya tidak berharap sangat sebab merasakan ada ramai lagi yang memerlukan.
“Tidak lama selepas itu datang pula anggota tentera tengok rumah, ukur rumah. Macam tak percaya nak buatkan rumah saya dengan modal semua akan ditanggung. Memang tak percaya tetapi sekarang sudah nyata alhamdulillah terima kasih kepada semua terutama Kementerian Pertahanan,” katanya.
Terdahulu ibu kepada tiga orang anak ditemui selepas menghadiri PJM KEMENTAH peringkat Negeri Johor 2024, di Kampung Bukit Sedili Besar yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sonan Ahmad
Seorang lagi penerima, Sonan Ahmad, 61 berkata dia terpaksa menyediakan satu tong besar di rumah bertujuan untuk menadah air dari atap bocor setiap kali hujan.
Katanya sejak membina kediaman itu 30 tahun yang lalu dia tidak pernah menukar atap dan sekadar melakukan tampalan sahaja di kawasan yang bocor.
“Paling teruk di kawasan bilik tidur, bilik air bocor juga tetapi tak jadi masalah sangat. Memang ada hasrat untuk tukar atap baru tapi kosnya itu saya tidak mampu kerana saya hanya bekerja sebagai nelayan.
“Bahkan sekarang saya juga sudah jarang turun ke laut kerana faktor kesihatan, kaki tidak kuat, semput dan penyakit lain. Anak -anak tegah pergi ke laut kerana bimbang.
“Terima kasih kepada Kementerian Pertahanan, kepada askar-askar yang bantu baik pulih rumah saya hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa,” kata bapa kepada lima orang anak itu.
Pada majlis itu Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menyerahkan Mock-up Cheque peruntukan pembaikan rumah bagi perlaksanaan PJM KEMENTAH Negeri Johor kepada lima orang penerima di sekitar kawasan Kota Tinggi.
Turut hadir, Panglima 7 Briged; Brigedier Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad
Saad, Ketua Jurutera Markas Tentera Darat; Brigedier Jeneral Ts. Shahruddin Mohd Noh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sedili, Muszaide Makmor.
Perlaksanaan PJM KEMENTAH 2024 bagi Negeri Johor melibatkan 24 orang penerima dari Simpang Renggam, Parit Sulong, Batu Pahat, Pasir Gudang dan Muar dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM603,637.10.
PJM KEMENTAH adalah merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pertahanan selari dengan Teras 4 Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021 – 2025 iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (Civil Military Cooperation – CIMIC) Demi Pertahanan Menyeluruh bagi meringankan beban golongan asnaf dan fakir miskin di kawasan yang telah dikenalpasti dari seluruh negara.
Selain itu, PJM KEMENTAH ini juga adalah penting dalam mengukuhkan kerjasama antara awam dan tentera dengan menggariskan pendekatan Whole of Government and Whole of Society (WOGOS).
Mohamed Khaled berkata bagi Tahun 2024, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah menerima peruntukan sebanyak RM3.23 Juta bagi melaksanakan PJM KEMENTAH meliputi 91 projek merangkumi pelbagai skop yang telah dikenal pasti.
Katanya skop kerja itu melibatkan kerja-kerja bina baharu, senggaraan dan pembaikan rumah asnaf veteran ATM, masjid atau surau, bangunan awam seperti dewan dan pusat komuniti.
Jelasnya kerja-kerja bagi program ini akan mengambil masa selama tiga bulan bermula pada penghujung bulan Julai dan dijangka siap pada penghujung bulan Oktober 2024.
Pada tahun 2021 hingga 2022, sebanyak 325 buah PJM telah dilaksanakan di seluruh negara dengan kos berjumlah RM5.69 juta manakala bagi tahun 2023 sebanyak 55 PJM masih lagi dalam pelaksanaan merangkumi kos berjumlah RM1.43 juta.
“Walaupun Kementerian Pertahanan menumpukan kepada aspek pertahanan negara namun kementerian ini juga turut mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat khususnya dalam aspek kesejahteraan dan ia diterjemahkan menerusi PJM KEMENTAH,” katanya.








