PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk i-Legasi, i-Emas dan Kalkulator Matlamat Persaraan bagi memperkukuh kesejahteraan persaraan serta jaminan kewangan ahli merentas generasi.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, langkah itu selaras dengan usaha berterusan institusi berkenaan membantu ahli bukan sahaja mengumpul simpanan, malah mengurus dan memastikan kelangsungan pendapatan persaraan secara mampan.
Beliau berkata, menerusi kemudahan i-Legasi, ahli KWSP yang berumur 55 atau 60 tahun ke atas kini boleh memindahkan sebahagian lebihan simpanan mereka kepada akaun KWSP ahli keluarga terdekat seperti pasangan dan anak-anak.
Katanya, pemindahan itu hanya melibatkan baki simpanan yang melebihi tahap Simpanan Mencukupi mengikut Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA).
“Pemindahan ini dibuat daripada Akaun 55 atau Akaun Emas pemberi kepada Akaun Persaraan atau Akaun Emas penerima bagi memastikan simpanan terus terpelihara untuk tujuan persaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, KWSP turut menjenamakan semula kaedah bayaran bulanan Pengeluaran Umur 55/60 Tahun kepada i-Emas bagi menggalakkan ahli mengurus simpanan persaraan secara lebih lestari.
Menurut Ahmad Zulqarnain, lebih 21,000 ahli telah memilih pengeluaran bulanan selepas mencapai umur persaraan, sekali gus menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap keperluan pendapatan bulanan yang stabil.
“i-Emas memberi fleksibiliti kepada ahli untuk mengurus keperluan harian di samping memastikan baki simpanan terus menerima dividen tahunan,” katanya.
Tambah beliau, kemudahan itu juga dapat membantu melindungi ahli daripada risiko kewangan seperti penipuan dan pengurangan simpanan secara mendadak.
Sementara itu, KWSP turut melancarkan Kalkulator Matlamat Persaraan dalam aplikasi i-Akaun bagi membantu ahli membuat perancangan persaraan secara digital dan lebih sistematik.
Katanya, alat digital itu membolehkan ahli menganggarkan keperluan simpanan masa depan berdasarkan gaya hidup dan unjuran perbelanjaan masing-masing.
Sumber – Kosmo! Online





