SHAH ALAM – Dikritik sering menonjolkan penampilan menyerupai lelaki, penyanyi Cik B menafikan dakwaan tersebut sekali gus menjelaskan pemilihan busana digayakan sebenarnya bersifat uniseks.
Pemilik nama sebenar Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, 21, itu dalam masa percaya gaya rambut pendeknya turut menjadi punca masyarakat memandang serong terhadap penampilannya.
“Ramai cakap saya pakai baju ‘boyish’, pakaian yang saya pakai itu sebenarnya unisex, lelaki dan perempuan pun boleh pakai.
“Cuma rambut saya sahaja yang pendek, jadi mereka nampak saya ini seolah-olah nak berpakaian lelaki,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui selepas konsert minggu keempat Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), malam tadi.
Mengulas lanjut, anak kepada usahawan Datuk Seri Vida itu mengakui keselesaan dan kesesuaian bentuk badan menjadi faktor pemilihan pakaiannya.
“Sebenarnya saya berpakaian mengikut keselesaan. Saya ini sudahlah berbadan besar, nak tengok ke saya pakai ‘crop top’?
“Untuk persembahan minggu keempat ini saya memakai skirt, jadi perlahan-lahanlah berubah,” katanya lagi.
Sementara itu, Vida selaku pengurus bertindak mengambil inisiatif dengan menyediakan persalinan yang lebih feminin buat Cik B sebagai usaha untuk menampilkan kelainan berbanding gaya pada minggu-minggu sebelumnya
“Mama sediakan baju ini untuk Cik B, ada skirt. Saya doa supaya dia pakai nak penampilan berbeza.
“Tak nak nampak sama dah tiga minggu, biar ada ‘wow factor’ walaupun minimalis tapi memberi kesan,” ujarnya.
Sebelum ini, Cik B menjadi bahan kritikan apabila ada yang mendakwa penampilannya kelihatan terlalu ‘boyish’ ketika beraksi pada minggu kedua saingan TTMM2.
Malah, ini bukan kali pertama Cik B ditegur, memandangkan sebelum ini dia sering dinasihati agar menggayakan pakaian yang lebih feminin dan sopan sebagai seorang wanita.
Sumber – KOSMO! ONLINE





