Saturday, June 13, 2026
HomeBERITASambutan Minggu Perpaduan 2026 Zon Sarawak Fokus Silang Budaya Pemangkin Perpaduan

Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Zon Sarawak Fokus Silang Budaya Pemangkin Perpaduan

MIRI, 10 Mei 2026 – Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Zon Sarawak yang telah berlangsung selama dua hari sejak 9 Mei lalu telah melabuhkan tirainya hari ini dan berjaya mencatatkan kehadiran seramai lebih 30, 000 orang pengunjung. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak di Boulevard Mall, Miri dan turut dihadiri YBhg Dato Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) ini telah berjaya menjadi wadah penyatuan rakyat berbilang kaum dengan menampilkan persembahan silang budaya yang melibatkan etnik di seluruh Sarawak.

Silang budaya merupakan asas perpaduan dalam masyarakat majmuk kerana elemen ini membuka ruang kepada rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk saling memahami, menghormati dan menghargai perbezaan budaya yang wujud serta mengeratkan hubungan antara inter-etnik dan intra-etnik. Sehubungan itu, semua pihak perlu menjadikan elemen silang budaya ini sebagai inisiatif dalam memperkukuh konsep asas faham, hormat, terima dan meraikan. Kementerian juga akan terus memberikan fokus kepada elemen silang budaya ini.