Hormati Situasi Gaza Dan Banjir, Kerajaan Persekutuan Tidak rancang Sambutan Tahun Baharu 2024

0
390
Foto: Berita Harian

SHAH ALAM, 30 Disember- Sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang kini ditindas dengan kejam oleh rejim zionis Israel dan menghormati mangsa banjir di beberapa negeri, sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 besar-besaran peringkat kebangsaan tidak akan diadakan.

Menteri Komunikasi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Kerajaan Persekutuan tidak membuat sebarang perancangan untuk mengadakan sambutan pada tahun ini.

“Di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mungkin diadakan program sambutan yang bersesuaian dengan keadaan setempat,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) malam tadi.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) akan menganjurkan Program Kerohanian Ambang Tahun Baru 2024 pada Ahad ini di Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya sebagai alternatif untuk masyarakat Islam Malaysia yang lazim menyambut Tahun Baharu Masihi.

Ketua Pengarahnya Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff berkata, pelbagai aktiviti kerohanian diadakan sebagai alternatif kepada masyarakat Islam di negara ini yang menjadi kelaziman menyambut tahun baharu masihi dengan pelbagai aktiviti diadakan.

Masjid Putra turut mengadakan ceramah khas ambang tahun baharu yang akan disampaikan oleh Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan serta bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Manakala, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pula menampilkan program khas Ambang Gema Syukur dengan pengisian Kuliah Maghrib Khas, sesi Tadabbur Surah Al-Mulk dan refleksi.

Selain itu, program akan diteruskan pada 1 Januari 2024 dengan acara Qiamulail tahun baharu, Ceramah Khas Subuh 4 GAZA, slot International Quran Moment dan Forum Perdana Tahun Baharu.

JAKIM menyeru seluruh masyarakat hadir beramai-ramai mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti kerohanian di samping bermunajat dan berdoa agar negara dijauhi segala musibah dan bala bencana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here