Askar Naik Tangan, Ugut Bunuh Isteri Dipanggil Polis

0
535
Foto: Beautifulnara

MELAKA, 30 Disember- Polis Melaka mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan seorang anggota tentera memukul dan mengugut untuk membunuh isterinya di sebuah flat di Sungai Udang.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah, menerusi satu kenyataan berkata, polis mengesan video berdurasi 32 saat itu tular sejak semalam menerusi satu hantaran di aplikasi X.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku pada 15 Disember lalu dan satu laporan polis diterima daripada seorang wanita berusia 38 tahun kerana dipukul suaminya seorang anggota tentera yang berusia 25 tahun.

“Siasatan juga mendapati suami mangsa bekerja di sebuah kem di Sungai Udang dan kejadian itu berlaku di sebuah flat di kawasan berkenaan.

“Setakat ini polis sudah memanggil lelaki itu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada laporan mangsa, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sejak semalam, sebuah video memaparkan seorang lelaki mengenakan baju seragam lengkap askar mengasari seorang wanita dipercayai isterinya menjadi tular di laman sosial.

Kedengaran suara seorang wanita merayu-rayu supaya suaminya bertenang dan menyelesaikan isu antara mereka secara baik.

Bagaimanapun, suaminya tetap berkeras dan menjerit mengarahkan isterinya masuk ke rumah dengan suara tinggi malah turut
mengugut untuk membunuh iwanita itu sambil kelihatan memegang sesuatu dan mengacukan kepada mangsa.

Beberapa jiran juga cuba menenangkan keadaan, namun tidak dihiraukan oleh lelaki berkenaan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here