Thursday, November 12, 2026
HomePERNIAGAANSemak Kasih Bantu Waris Terima Manfaat Tuntutan RM55 Juta

Semak Kasih Bantu Waris Terima Manfaat Tuntutan RM55 Juta

KUALA LUMPUR – Syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga di negara ini telah membayar kira-kira RM55 juta bagi manfaat tuntutan melibatkan 855 polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga yang dikenal pasti menerusi portal Semak Kasih setakat 16 Oktober 2026.

Pencapaian itu menyerlahkan peranan portal berkenaan dalam membantu keluarga mengesan potensi manfaat insurans hayat dan takaful keluarga yang belum dituntut, ditinggalkan oleh insan tersayang yang telah meninggal dunia.

Sejak dilancarkan pada Jun 2026, portal semakan perlindungan berpusat itu yang dibangunkan secara bersama oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA), telah merekodkan lebih 35,000 pengguna yang ingin mengenal pasti potensi manfaat insurans hayat dan takaful keluarga milik ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia.

Setakat ini, Semak Kasih telah mengenal pasti lebih 7,000 padanan berpotensi dan menerima kira-kira 3,000 pertanyaan menerusi saluran e-mel serta pusat panggilannya daripada orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut dan bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell dalam satu kenyataan berkata, industri insurans hayat memainkan peranan penting dalam membina kesedaran dan memperkukuh kepercayaan awam, dengan LIAM memperjuangkan pemahaman lebih meluas mengenai kepentingan perlindungan kewangan kepada keluarga Malaysia sejak lebih lima dekad lalu.

Beliau berkata, pembinaan kepercayaan masyarakat bukan sekadar menyediakan perlindungan kewangan, sebaliknya turut memerlukan usaha memastikan rakyat memahami perlindungan dimiliki, mengetahui cara mendapatkan manfaat yang tersedia serta yakin industri komited menyokong mereka dan keluarga.

“Semak Kasih menjadi lanjutan bermakna kepada komitmen berkenaan menerusi penyatuan industri insurans hayat dan takaful keluarga bagi memudahkan waris mengesan manfaat yang mungkin tidak diketahui atau belum dituntut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed, berkata pembayaran RM55 juta menerusi kes yang dikenal pasti melalui Semak Kasih mencerminkan peranan penting perlindungan kewangan dalam menyokong keluarga Malaysia, khususnya ketika berdepan kehilangan insan tersayang.

Beliau berkata, di sebalik setiap sijil takaful atau polisi insurans terdapat janji perlindungan kewangan kepada insan tersayang yang hanya dapat memenuhi tujuan sebenarnya apabila manfaat berkenaan sampai kepada pihak yang layak menerimanya.

“Walaupun bantuan kewangan tidak mampu menggantikan kehilangan ahli keluarga, pembayaran manfaat itu sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kewangan serta memberikan sedikit ketenangan kepada waris ketika melalui tempoh sukar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat Malaysia yang kehilangan ahli keluarga supaya meluangkan masa menyemak portal Semak Kasih, memandangkan lebih 7,000 padanan berpotensi sudah dikenal pasti dan masih terdapat peluang untuk lebih ramai keluarga mengetahui kewujudan manfaat perlindungan berkenaan.

Dalam pada itu, industri turut mengingatkan pemegang polisi dan sijil takaful supaya sentiasa menyemak butiran perlindungan, membuat penamaan jika bersesuaian serta mengemas kini maklumat penama apabila berlaku perubahan keadaan peribadi.

Penyedia insurans dan takaful pula boleh membantu menerusi komunikasi berkala, peringatan digital serta panduan jelas sepanjang tempoh pemilikan polisi atau sijil.

Orang ramai boleh mengakses portal Semak Kasih menerusi www.mycoverage.my untuk membuat semakan secara percuma.

Bagaimanapun, padanan berpotensi yang dikenal pasti tidak bermaksud tuntutan sudah diluluskan kerana kelayakan dan pembayaran masih tertakluk kepada proses pengesahan oleh syarikat insurans atau pengendali takaful berkaitan, termasuk penyediaan dokumen yang diperlukan.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Perlumbaan F1 Qatar, Abu Dhabi Diteruskan Walaupun Ketegangan Serantau

0
LONDON – Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan dua perlumbaan terakhir perlumbaan Formula Satu (F1) 2026 di Grand Prix (GP) Qatar dan Abu Dhabi akan...

CATEGORIES