Monday, October 26, 2026
HomeBERITA'Sudah 3 Tahun Rohingya Buka Kebun Sireh Di Kawasan Bechah Laut'

‘Sudah 3 Tahun Rohingya Buka Kebun Sireh Di Kawasan Bechah Laut’

TANAH MERAH – Sebuah ladang sireh seluas lebih dua hektar berhampiran Kampung Bechah Laut, di sini, dipercayai diusahakan komuniti Rohingya sejak tiga tahun lalu tanpa disedari pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tinjauan di kawasan itu mendapati ladang yang dibangunkan dengan para kayu secara tersusun itu letaknya di kawasan yang terpencil dan berbukit menyebabkan ada di kalangan penduduk tidak mengetahui kewujudannya.

Tanah berkenaan dipercayai disewa daripada penduduk kampung terbabit dengan bayaran dipercayai mencecah ribuan ringgit, manakala hasil tanaman itu dijual di luar Kelantan termasuk di Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Terdapat dua bangsal yang dibina di kawasan ladang berkenaan dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan baja.

Bagaimanapun, ketika tinjauan dilakukan, kelibat komuniti Rohingya tidak kelihatan dengan penduduk memaklumkan sudah lebih seminggu mereka tidak memasuki ladang terbabit memandangkan keadaan ‘agak panas’.

Penduduk turut memaklumkan, komuniti Rohingya itu hanya menyewa tanah di kampung terbabit namun tidak tinggal di kawasan berkenaan.

Tinjauan turut mendapati, kawasan ladang sirih dan bangsal yang dibina di kawasan berkenaan sudah disita Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) semalam berikutan terdapat pita keselamatan dipasang.

Berdasarkan notis yang ditampal di ladang berkenaan, pemilik tanah terbabit dikatakan melanggar syarat tanah iaitu sepatutnya ditanam dengan getah.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Hussin, 70, berkata ladang sireh berkenaan mula disewa oleh penduduk Rohingya sejak tiga tahun lalu.

Katanya, pada mulanya seorang komuniti Rohingya masuk ke kampung itu sebagai kuli kepada penduduk dengan bekerja sebagai penanam sayur.

“Namun kini dia menjadi tauke ladang sireh seluas lebih dua hektar, manakala penduduk kampung pula bekerja dengannya sebagai pemandu lori dan van untuk membawa bekalan sirih ke luar Kelantan.

“Untuk ladang sireh ini, dianggarkan 30 pekerja yang mengusahakan tanaman ini terdiri daripada etnik Rohingya. Boleh dikatakan sebelum ini hampir setiap hari saya akan bertembung dengan mereka.

“Namun sejak seminggu lalu, kawasan ini kosong kerana mereka dikatakan takut kerana banyak operasi pihak berkuasa. Kini hanya sesekali saya berjumpa mereka pada waktu petang, itu pun hanya seorang atau dua orang yang masuk ke ladang ini,” katanya.

Hussin berkata walaupun kehadiran komuniti Rohingya itu tidak menganggu penduduk kerana kebanyakannya hanya bergaul sesama mereka, namun dikhuatiri kehadirannya terus bertambah sekiranya makin banyak tanah disewakan.

Sementara itu, penduduk dikenali sebagai Yaakob, 60, pula berkata, sepanjang dia tinggal di kampung berkenaan, ini kali pertama dia melihat ladang sireh yang diusahakan etnik Rohingya secara dekat.

“Saya memang mengetahui ada Rohingya membuka ladang sireh di sini namun tidak berani untuk masuk dekat atas faktor keselamatan memandangkan kawasan ini jauh daripada kediaman penduduk.

“Kami berharap penduduk di kampung ini mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan tidak menyewakan tanah kepada warga asing bagi mengelak sebarang masalah pada masa hadapan.

“Walaupun Kampung Bechah Laut yang mempunyai lebih 1,000 penduduk, kampung ini masih selamat kerana mereka tidak menghuni di sini sebaliknya hanya menyewa, namun pencegahan awal perlu dilakukan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Saya Bukan Jenis Veteran Yang Kutuk Artis Baharu’ – Aznil

0
KUALA LUMPUR – Pengacara terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi menolak tanggapan bahawa semua golongan selebriti senior cenderung mencari kesilapan artis generasi baharu yang kononnya...

CATEGORIES