Tuesday, October 20, 2026
HomeBERITA'Ini Bukan Soal Saya Tetapi Periuk Nasi Hampir 500 Dari Pekerja' -...

‘Ini Bukan Soal Saya Tetapi Periuk Nasi Hampir 500 Dari Pekerja’ – Christy Ng

KUALA LUMPUR – “Ini bukan soal saya seorang, tetapi membabitkan periuk nasi hampir 500 pekerja,” tegas usahawan fesyen, Christy Ng.

Beliau yang juga pempengaruh media sosial, meluahkan kesal dengan sikap degil pemilik akaun media sosial yang enggan memohon maaf secara terbuka berhubung tohmahan fitnah melampau terhadap perniagaannya.

Christy berkata, individu terbabit masih aktif membuat hantaran di platform Threads, walaupun tidak hadir ke prosiding mahkamah berhubung kes berkenaan.

“Kalau dia benar-benar insaf atas kesilapannya, sepatutnya datang dan meminta maaf. Namun, dia masih menulis di Threads dan tidak menunjukkan penyesalan.

“Dia boleh berterusan membuat hantaran di media sosial tetapi tidak datang ke mahkamah untuk prosiding,” katanya.

Hari ini sepatutnya ditetapkan sebagai pendengaran permohonan komital terhadap seorang lelaki yang didakwa gagal mematuhi perintah mahkamah supaya menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dalam akhbar.

Christy dan syarikatnya Christy Ng Sdn Bhd, selaku plaintif menfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi terhadap J Vikneshvra Rau sebagai defendan.

Ia susulan dakwaan Vikneshvra gagal menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat satu halaman penuh dalam akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris seperti diarahkan mahkamah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh baru bagi pendengaran permohonan itu selepas defendan gagal menghadirkan diri ke prosiding berkenaan.

Mengulas lanjut, Christy berkata, tindakan undang-undang itu adalah yang pertama dilakukannya bagi kes fitnah seumpama itu kerana dakwaan berkenaan disifatkannya melampaui batas sehingga menjejaskan reputasi syarikat serta pekerjanya.

Katanya, tohmahan yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu turut dibaca pelanggan di negara lain, termasuk Filipina dan Indonesia, selain memberi kesan kepada keluarganya.

“Dia merosakkan nama baik syarikat dan periuk nasi hampir 500 orang yang bekerja dengan syarikat saya di seluruh Asia Tenggara.

“Ibu bapa saya juga sangat terkesan apabila membaca fitnah berkenaan.

“Jadi, ini bukan hanya mengenai saya tetapi juga tanggungjawab terhadap pekerja yang bergantung kepada syarikat ini untuk mencari rezeki,” katanya.

Christy berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi mempertahankan reputasi syarikat serta memastikan kebajikan pekerja yang bergantung kepada perniagaannya terus terpelihara.

Sementara itu, peguam Christy, Foong Cheng Leong, berkata individu terbabit belum membayar sebarang ganti rugi RM180,000 yang dianugerahkan oleh mahkamah dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, notis kebankrapan terhadap individu itu juga sudah difailkan di mahkamah pada minggu lalu.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Saman RM500 Jika Dengar Muzik Telefon Bimbit Tanpa Fon Kepala

0
LONDON – Warga  London yang memainkan muzik atau video dengan kuat daripada telefon bimbit di dalam bas  berdepan saman  £100 (RM500)  sebagai  usaha menangani...

CATEGORIES