Tuesday, September 1, 2026
HomeHIBURAN‘Saya Overthinking, Selamatkah Anak Ke Sekolah Enam Tahun Lagi’ - Qi Razali

‘Saya Overthinking, Selamatkah Anak Ke Sekolah Enam Tahun Lagi’ – Qi Razali

ADA satu titik usia dalam kehidupan seorang lelaki apabila persoalan tentang diri sendiri perlahan-lahan berganjak kepada masa depan insan bawah tanggungannya.

Pemikiran itu bukan lagi soal apa mahu dimiliki, tetapi apa bakal ditinggalkan.

Bagi pelakon dan pemuzik, Qi Razali, fasa itu hadir bersama tangisan kecil Anggun Sumayyah, tujuh bulan lalu.

Kehadiran cahaya mata sulung bukan hanya menyempurnakan bahagia sebagai suami dan bapa, malah membuka lembaran baharu dalam cara pemilik nama sebenar Qushairi Mohammed Razali itu menilai kehidupan.

Jika dahulu fikirannya lebih banyak berlegar sekitar keperluan diri, kini bayangan masa depan isteri dan anak mula mengambil tempat.

Keselamatan, pendidikan, kehidupan serta kelangsungan keluarga untuk tempoh 10 hingga 20 tahun mendatang menjadi antara perkara bermain dalam fikirannya.

Lebih daripada itu, perubahan tersebut turut mendorongnya menyusun semula strategi kewangan dan kerjaya.

Perniagaan, lakonan, nyanyian, malah pengarahan kini dilihat sebagai cabang penting bagi memastikan keluarganya mempunyai sandaran lebih kukuh.

Demi anak, isteri

Menurut Qi, menjadi bapa membuatkan nalurinya berubah secara drastik hingga perkara kecil turut mampu mencetuskan kebimbangan.

“Sejak ada anak, pemikiran saya sudah berubah. Tiba-tiba saya jadi takut macam-macam benda. Jadi overthinking.

“Saya mula fikir, selamatkah anak nak ke sekolah enam tahun lagi, sedangkan baru berusia beberapa bulan. Bagaimana kawan-kawannya nanti, apa dia hendak belajar dan universiti mana bakal dipilih? Terlalu banyak perkara saya fikirkan dan bimbangkan.

“Sampai ibu dukung anak pun saya risau sebab dia sudah tua. Bimbang tangannya tidak kuat atau kebas hingga terlepas anak kerana dia pernah terlepas cawan,” katanya kepada HibGlam.

Tidak hanya memikirkan perjalanan hidup puteri kesayangannya sahaja, bintang filem Babah itu turut mula membayangkan kehidupan isteri dan anak sekiranya dirinya sudah tiada.

Fikiran itu mungkin kedengaran berat, namun bagi seorang bapa, persediaan awal dianggap sebagai bentuk tanggungjawab paling jujur.

“Saya selalu fikir, andai saya sudah tiada, adakah anak dan isteri selamat untuk sekurang-kurangnya lima tahun? Saya sudah mula fikir ke arah itu. Tidak tipu – memang itu perkara saya fikir dan bimbangkan.

“Kalau dahulu saya fikir tentang hendak membeli motosikal atau kereta, perasaan itu mula pudar. Sejak ada anak, secara tiba-tiba saya mula fikir perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada diri, keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya.

QI kini melangkah setapak dalam dunia seni apabila mula berjinak-jinak dalam arena pengarahan.

Sebelum 50 tahun

Tinggal setahun sahaja lagi sebelum melangkah ke angka 50, Qi melihat usia berkenaan sebagai satu garis penanda untuk membuat anjakan dalam kehidupan dan kerjaya.

Enggan terus selesa dalam ruang sama, dia kini menyusun beberapa langkah bagi memperkukuh kedudukan kewangan keluarga selain membuka lebih banyak cabang dalam dunia seni.

Untuk bidang muzik, Qi bukan sahaja kembali aktif bersama kumpulan terbaharunya, The Exact, malah kini dalam perancangan menghasilkan album sulung.

Dia juga mempunyai kolaborasi perniagaan bersama Pitboybbq — jenama terkenal dengan hidangan daging salai ala Texas, khususnya sandwic pastrami.

Namun, perubahan paling besar hadir apabila Qi mula mengembangkan sayap di belakang kamera dengan menceburi bidang pengarahan.

Jelasnya, minat terhadap pengarahan semakin bercambah hasil pengalamannya bekerja bersama ramai pengarah serta pengarah fotografi (DOP).

“Saya banyak duduk dengan pengarah dan DOP kerana saya rasa seorang pengarah akan lebih kuat apabila ada pasukan memahami apa yang dia mahu.

“Daripada situ, saya belajar banyak perkara, termasuk cara bekerja dengan pasukan, apa patut dibuat dan sebaliknya serta perkara yang boleh kita lakukan supaya hasilnya berbeza daripada orang lain,” ungkapnya.

Pengalaman mengarahkan muzik video untuk The Exact turut menjadi titik penting dalam perjalanan baharunya yang bukan sahaja  berada di belakang kamera, malah terbabit dalam pembinaan papan cerita, hala tuju visual serta perbincangan rapat bersama DOP.

“Sebenarnya muzik video yang kami hasilkan itu pun 100 peratus saya bersama DOP yang mengarahkan. Kami buat papan cerita dan fikir bagaimana hendak menghasilkan visualnya.

“Daripada situ saya mula nampak bahawa pengarahan bukan sekadar melihat kamera dan menyebut ‘mula’. Banyak perkara perlu difikirkan serta dikawal,” tuturnya.

TERUS aktif dalam dunia lakonan, Qi Razali kini muncul dengan projek baharu bersama kumpulan The Exact dan sedang dalam rencana menghasilkan album studio sulung.

Bukan hanya kamera

Berpijak di bumi nyata, Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) itu sedar menjadi sutradara bukanlah kerja mudah apatah lagi perlu memikikan pelbagai aspek.

Katanya, terlalu menumpukan aspek teknikal juga boleh menjadi perangkap kerana penonton datang untuk merasai sesuatu, bukan sekadar menilai sudut kamera atau pencahayaan.

“Kadang-kadang kalau terlalu melihat aspek teknikal pun boleh jadi masalah kerana penonton mahu melihat perasaan dan apa yang mereka rasa ketika menonton.

“Orang yang mahir teknikal mungkin nampak lampu kurang di sini, kenapa babak itu dibuat begitu dan sebagainya. Tetapi sebagai pengarah, banyak perkara kena difikirkan semula, terutama penerimaan penonton.

“Itu antara cabaran awal apabila masuk ke dunia ini. Ada orang akan cakap, jangan buat begini nanti orang kutuk. Tetapi persoalannya, orang yang menonton itu faham atau tidak apa yang kita cuba sampaikan?” tambahnya.

Atas kesedaran itu, Qi berpendapat filem pendek lebih sesuai dijadikan gelanggang untuk menguji kemampuan, menilai kelemahan serta mengenal pasti kekuatan sebelum melangkah ke produksi lebih besar.

“Saya belum berani terus cakap hendak buat filem. Mahu belajar dahulu bagaimana mengawal pasukan teknikal, lakonan dan pelbagai perkara lain dalam sesebuah produksi.

“Saya akan cuba YouTube, tetapi pada masa sama mahu cuba masuk pertandingan filem pendek dan tayangan siri filem pendek anjuran Finas. MyCreative juga ada dana untuk filem pendek.

“Saya mahu keluarkan karya pertama ini sebagai langkah pertama. Biar orang tengok, kritik dan beri komen. Daripada situ saya boleh tahu kelemahan serta kekuatan sebelum bergerak ke langkah seterusnya,” tutupnya.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli Dilantik Sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Amanah...

0
KUALA LUMPUR, 1 September 2026 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat...

CATEGORIES