HOUSTON – Pengendali Portugal, Roberto Martinez menepis kritikan yang dilemparkan ke atas kapten, Cristiano Ronaldo selepas pasukannya hanya meraih keputusan seri 1-1 pada aksi Kumpulan K saingan Piala Dunia 2026, semalam.
Pada perlawanan itu,Ronaldo gagal menemui sentuhan penyudah apabila menamatkan perlawanan tanpa sebarang percubaan tepat ke sasaran meskipun beraksi penuh selama 90 minit dengan gol A Selecao dijaringkan oleh Joao Neves.
Sebagai rekod, Ronaldo gagal menjaringkan lima perlawanan berturut-turut di pentas Piala Dunia, selain kali ke-10 berturut-turut dia gagal menjaringkan gol dalam kejohanan utama termasuk saingan Eropah (Euro).
Bagaimanapun, Martinez mengakui tidak pernah mempertimbangkan untuk mengeluarkan Ronaldo yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 143 gol walaupun ketika Portugal sedang memburu gol kemenangan.
“Satu keputusan yang tidak masuk akal untuk mengeluarkan penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa ketika pasukan memerlukan gol,” katanya.
Mengulas lanjut, Martinez percaya masalah sebenar bukan berpunca daripada taktik atau kualiti teknikal, sebaliknya faktor emosi yang menyebabkan pemain hilang keyakinan untuk mengambil risiko.
“Kami bermula dengan sangat baik. Kemudian, kami berhenti mengambil risiko, ia lebih berkaitan dengan emosi berbanding aspek taktikal atau teknikal dan situasi ini normal dalam Piala Dunia.
“Apa yang pasti, saya tidak risau kerana pada 2022, Argentina tewas kepada Arab Saudi sebelum muncul juara dunia dan edisi 2010 pun sama (Sepanyol muncu juara),” katanya.
Sumber – AGENSI





