LEBIH empat dekad mewarnai industri muzik, penyanyi Datuk Aishah masih belum terlepas daripada menjadi sasaran kritikan netizen yang mempertikaikan kemampuan vokalnya.
Mengakui terkilan dengan tindakan segelintir pihak yang gemar memperlekehkan penyanyi senior, pemilik nama lengkap Wan Aishah Wan Ariffin, 61, itu enggan melayan pandangan skeptikal mengganggu gugat persediaan persembahan mega solonya.
Hanya tinggal sebulan sahaja lagi konsert Aishah: 40 Chapters of Love yang dijadualkan pada 4 Julai ini, sekali gus mendorongnya menggandakan latihan vokal bagi menyampaikan lebih 30 lagu di Mega Star Arena Kuala Lumpur nanti.
“Ada yang bertanya sama ada saya masih boleh mencapai nota tinggi atau tidak. Saya rasa mereka tidak mendengar pun lagu baharu saya, Taman Keabadian.
“Kalau nota panjang pada penghujung lagu itu bukan ‘sustain note’, saya pun tidak tahu apa lagi definisinya. Kita boleh minat seseorang artis, tetapi tidak perlu merendahkan atau memperkecilkan penyanyi lain.
“Itu budaya yang perlu diubah kerana setiap penghibur mempunyai keistimewaan tersendiri. Jangan bunuh semangat orang menghentam sebelum mendengar,” katanya ketika ditemui HibGlam, baru-baru lagi.

Layanan
Perlu membuka mulut, katanya masih wujud kelompok pemerhati arena hiburan tempatan yang terlalu keras menilai artis sendiri berbanding penyanyi luar negara yang sering diberi layanan lebih istimewa.
Tambah penyanyi lagu Janji Manismu itu lagi, perkara tersebut sedikit sebanyak memberi kesan terhadap semangat anak seni, khususnya golongan penyanyi senior yang masih aktif berkarya.
“Perkara inilah yang kita perlu ubah dan ia membuatkan saya sangat sedih. Dalam masa sama, saya rasa tercabar untuk membuktikan kemampuan.
“Sikap negatif sebegini juga sebenarnya tidak baik untuk bakat atau artis itu sendiri. Kalau artis luar negara, walau apa pun yang mereka lakukan, tetap dipuji.
“Tetapi kita pula terlalu keras terhadap penyanyi lokal terutama artis yang sudah berusia,” kongsinya.
Pada masa sama, Aishah turut berasa pelik dengan tanggapan segelintir pihak yang mahu penyanyi senior mengekalkan kemampuan vokal sama seperti ketika usia muda.
“Orang harap artis yang sudah berusia dapat menyanyi macam umur 20 tahun sedangkan semua insan melalui fasa perubahan apabila meningkat usia.
“Saya pernah membuat rakaman dan seorang guru vokal terkejut dengan kemampuan saya mengekalkan vokal. Dia tanya cara saya menjaga diri dan saya beritahu, banyakkan mengaji serta menjaga rutin tertentu,” ujarnya.
Tambahnya, individu yang mempunyai pengetahuan dalam bidang vokal biasanya lebih menghargai usaha seseorang penyanyi berbanding mereka yang gemar membuat penilaian tanpa memahami aspek teknikal nyanyian.
“Beliau merupakan seorang guru vokal dan sangat menghargai kerja keras kita tetapi ada sesetengah individu mudah sahaja memperkecilkan usaha orang lain. Itulah yang kadang-kadang mengecewakan,” luahnya.

Akses kemudahan
Nadanya kemudian kembali ceria apabila menyebut perihal konsert yang juga disifatkan sebagai cabaran peribadi untuknya membuktikan usia bukan penghalang untuk terus memberikan persembahan berkualiti.
Sebagai seorang penyanyi yang sentiasa dahagakan ilmu, Aishah turut mengakui generasi kini lebih bertuah kerana mempunyai akses kepada pelbagai teknik dan latihan vokal yang tidak dinikmatinya ketika mula menceburi arena muzik suatu masa dahulu.
“Saya suka belajar. Banyak perkara yang saya faham tentang teknik vokal hari ini sebenarnya menjawab persoalan yang saya cari sejak dahulu.
“Zaman saya bermula sebagai penyanyi, tidak banyak kemudahan atau jurulatih yang mengajar teknik nyanyian pop secara khusus.
“Saya belajar secara semula jadi, meniru dan mengamati lontaran vokal penyanyi yang saya minati. Sebab itu saya selalu terfikir – alangkah baiknya jika ilmu yang ada sekarang wujud ketika saya masih muda,” tambahnya.
Teruja menanti Julai, tambahnya lagi Aishah: 40 Chapters of Love bakal menjadi medan untuknya berkongsi kisah di sebalik dendangan yang membentuk perjalanan seninya sepanjang lebih empat dekad dalam industri hiburan.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Syurga Di Telapak Kaki Ibu, Ayah, Wajah, Fatwa Pujangga, Melukut Di Tepi Gantang, Di Mana Kan Ku Cari Ganti serta Antara Cinta Dan Kasih.
Tidak hanya menampilkan segmen balada yang menjadi kekuatan utamanya, bekas vokalis kumpulan Fan Club itu turut menjanjikan persembahan seleksi rancak bagi memastikan penonton menikmati pengalaman konsert yang bertenaga.
Mahu bernostalgia dengan Aishah, tiket-tiket berharga antara RM168 hingga RM788 kini boleh didapati menerusi platform, Ticketmelon.






