KUALA LUMPUR, 12 Jun 2026 – Sedekad bukanlah sekadar angka bagi MASDO. Ia adalah sebuah kembara panjang yang dipenuhi dengan warna, tawa, dan nota muzik yang telah menjadi sebahagian daripada nadi perjalanan mereka. 10 tahun ini bukan hanya tentang masa yang berlalu, tetapi tentang keberanian untuk terus mencipta, terus belajar dan terus percaya bahawa muzik mampu menemukan manusia dalam ruang yang sama.
Hari ini, MASDO dengan penuh bangga membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka menerusi album ketiga, ‘Ruang’, yang bakal menemui pendengar pada 20 Jun 2026.
Selepas melangkaui dekad pertama bersama album Selamat Tinggal Pujaan (2017) dan Jalan Abbey (2019), ‘Ruang’ hadir sebagai sebuah manifestasi kematangan yang telah dikumpul sepanjang perjalanan ini. MASDO yang dahulu tetap konsisten dalam lirik dan lagu, tidak pernah jauh dari identiti yang membesarkan nama mereka. Kali ini, mereka membuka ruang baharu dengan warna bunyi yang lebih segar dan matang.
‘Ruang’ merupakan usaha MASDO untuk keluar dari zon selesa, meneroka susunan muzik yang lebih segar, lebih berani dan lebih matang, seiring dengan usia MASDO yang kini telah mencecah sedekad.

Ruang’ (Side A): Sebuah Evolusi
Bunyi ‘Ruang’ bukan sekadar judul album; ia adalah ruang untuk MASDO bereksperimen dengan pendekatan bunyi yang lebih dinamik. Kerana bagi MASDO, bunyi bukan sekadar sesuatu yang didengari, tetapi sesuatu yang dirasai dan disimpan di satu ruang iaitu hati.
Menerusi Side A : Ruang yang akan dilancarkan pada 20 Jun 2026, para pendengar diajak untuk menelusuri evolusi bunyi yang menjadi teras kepada fasa baharu ini. Bahagian pertama album ini memuatkan lima karya:
1. Lautan Asmara II
2. Begini Jadinya
3. Teristimewa (Single Utama)
4. Esok Kan Ada Lagi
5. It’s Always Been You
Teristimewa dipilih sebagai single utama kerana ia merangkum semangat baharu yang ingin dibawa oleh MASDO. Sebuah karya yang hadir dengan nafas yang lebih segar, namun tetap mengekalkan identiti dan jiwa MASDO yang telah lama dekat di hati peminat.
Sebuah Perjalanan Memerlukan Waktu, Namun, perjalanan ini tidak terhenti di sini.
Sebagai pelengkap kepada naratif album ini, MASDO dijangka melancarkan Side B pada Disember 2026. Jika Side A : Ruang meraikan kematangan bunyi yang ditemui hari ini, Side B pula bakal membuka jendela kepada penerokaan muzik yang lebih luas, dan hala tuju MASDO untuk masa hadapan.
Ia menjadi bukti bahawa selepas sedekad, MASDO masih memilih untuk terus bergerak, berkembang dan mencari kemungkinan baharu dalam perjalanan muzik mereka.
Album “Side A : Ruang”, boleh mula didengari di semua platform penstriman digital bermula 20 Jun 2026.





