New Jersey: Neymar dijangka hanya akan kembali beraksi bersama Brazil pada peringkat kalah mati di Piala Dunia 2026.
Pemain berusia 34 tahun itu masih belum kembali menjalani latihan menjelang aksi kedua peringkat kumpulan Brazil menentang Haiti dan menurut sumber, beliau sedang mengulangi pemeriksaan perubatan yang pernah dijalani seminggu lalu.
Neymar dipanggil menyertai skuad Brazil untuk kejohanan itu walaupun mengalami kecederaan betis ketika beraksi bersama Santos FC pada 17 Mei lalu dan masih belum kembali berlatih sejak itu.
Menurut laporan, penyerang itu yang masih menjalani pemulihan daripada kecederaan otot tahap dua mengulangi ujian perubatan yang dilakukan minggu lalu dan keputusan rasmi masih belum disahkan oleh Persekutuan Bolasepak Brazil.
Media Brazil melaporkan kakitangan perubatan pasukan berharap Neymar dapat kembali cergas sepenuhnya menjelang peringkat kalah mati sekali gus beliau dijangka terlepas kedua-dua perlawanan kumpulan menentang Haiti dan Scotland dalam Kumpulan C.
Brazil sebelum ini seri 1-1 dengan Maghribi Ahad lalu dan akan menentang Haiti pada Sabtu sebelum bertemu Scotland dalam aksi terakhir kumpulan pada 24 Jun.
Neymar berada di bangku simpanan ketika perlawanan pembukaan Brazil tetapi tidak memakai kit rasmi pasukan.
“Neymar sedang bekerja keras untuk pulih secepat mungkin. Jangkaan kami ialah dia akan pulih dan kembali bersama kumpulan minggu depan,” kata jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti.
“Ketika kami memasukkannya dalam skuad, kami memilihnya kerana kualiti teknikalnya tidak boleh dipertikaikan. Tetapi kami juga mahukannya kerana pengalaman dan contoh yang dia berikan kepada pemain muda dalam pasukan.”





