KUALA LUMPUR: Pasaran kad pembayaran Malaysia termasuk transaksi di tempat jualan (POS) dan pengeluaran tunai melalui mesin juruwang automatik (ATM) dijangka berkembang sebanyak empat peratus bagi mencapai RM814.1 bilion pada 2025, menurut syarikat data dan analitik GlobalData.
Dalam satu kenyataan hari ini, Analitik Kad Pembayaran GlobalData menunjukkan nilai transaksi kad pembayaran di Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) yang aktif iaitu sebanyak lapan peratus antara 2020 hingga 2024 untuk mencapai RM783 bilion pada 2024.
GlobalData berkata, penggunaan kad untuk pengeluaran tunai di ATM semakin menurun dengan jumlah pengeluaran ATM mencatatkan kadar CAGR yang rendah iaitu 1.1 peratus dalam tempoh yang sama.
Penganalisis utama perbankan dan pembayaran syarikat itu, Shivani Gupta berkata landskap kad pembayaran di Malaysia berada pada landasan untuk pertumbuhan yang stabil dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pertumbuhan ini, katanya disokong oleh peningkatan penggunaan kad pembayaran seiring dengan perubahan digital yang lebih meluas.
“Inisiatif kerajaan, peningkatan kecenderungan pengguna terhadap pembayaran digital dan pembangunan infrastruktur penerimaan kad dijangka terus menyokong pertumbuhan ini.
“Seterusnya, nilai kad pembayaran dijangka berkembang pada kadar CAGR sebanyak 4.5 peratus antara 2025 hingga 2029 untuk mencapai RM969.9 bilion pada 2029,” katanya.
Shivani berkata, terdapat kemajuan ketara dalam penggunaan pembayaran berasaskan kad yang mencatatkan kadar CAGR sebanyak 20.4 peratus dari segi jumlah transaksi antara 2020 hingga 2024.
Menurutnya, ini dipacu oleh inisiatif keterangkuman kewangan kerajaan seperti penetapan had yuran pertukaran, pemberian lesen kepada bank digital sepenuhnya dan penambahbaikan infrastruktur pembayaran.
Pembayaran kad di terminal POS juga semakin meningkat dengan bahagian mereka dianggarkan mencecah 50.2 peratus tahun ini, disokong oleh peningkatan kesedaran pengguna, perluasan penggunaan terminal POS dan pengenalan kad debit tanpa sentuh oleh pihak bank.
Sementara itu, populariti pembayaran tanpa sentuh yang semakin meningkat mendorong penggunaan kad secara keseluruhan di terminal POS, secara beransur-ansur menggantikan penggunaan tunai untuk transaksi harian.
Walaupun penggunaan pembayaran elektronik semakin berkembang, Gupta berkata wang tunai masih banyak digunakan di Malaysia disebabkan keutamaan budaya serta persepsi kemudahan dan keselamatan yang ditawarkannya.
“Walaupun wang tunai secara tradisinya menjadi kaedah pembayaran pilihan di Malaysia, bahagiannya semakin menurun secara berterusan apabila pembayaran digital semakin mendapat tempat dengan kad pembayaran dan dompet digital muncul sebagai penerima manfaat utama.
“Bahagian pengeluaran tunai di ATM kini mewakili 49.8 peratus pada 2025, jauh lebih rendah daripada 63.3 peratus pada 2021,” katanya.
Sumber – BERNAMA





