KUALA LUMPUR: Kumpulan Barbarik tetap memilih menyampaikan lagu Kumpulan Wings pada Konsert Barbarik: Pentas Peluru Cokelat yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Jun depan.
Penerbit, komposer dan pemain gitar Barbarik, JoBranko berkata, Barbarik menjadi medan mempertemukan kembali dua bekas anggota Wings iaitu dirinya dan Muss selepas lebih dua dekad tidak boleh lari daripada menyanyikan lagu-lagu dari band terdahulu.
“Sebenarnya, kami mahu menyanyikan lagu sesiapa pun boleh sebab ada lagu yang saya hasilkan, jadi tiada masalah. Tapi, menerusi konsert ini, kami mahu hasilkan muzik lebih segar berbanding sebelum ini.
“Album Peluru Cokelat pun baru ada enam lagu baharu, jadi memang kami perlukan lagu-lagu yang zaman saya dengan Muss. Selepas itu, saya akan pilih lagu-lagu yang saya hasilkan dengan band lama.
“Sebab ada peminat nak dengar lagu bersama band sebelum ini, jadi kami beri sikit apa yang mereka nak dengar. Ada yang masih belum biasa dengan muzik Barbarik dan lebih suka lagu-lagu lama,” katanya pada sidang media Konsert Barbarik: Pentas Peluru Cokelat di ibu negara, petang tadi.
Selain lagu Wings, lagu yang pernah menaikkan nama Muss bersama May akan dipersembahkan pada konsert berkenaan bersama dengan lagu-lagu dari album Peluru Cokelat yang dikeluarkan tahun lalu.
Tambah JoBranko, konsert kali ini cukup istimewa kerana buat kali pertama Barbarik akan membawakan sepenuhnya lagu-lagu ciptaan sendiri dari album Peluru Cokelat.
“Sebelum ini, kami mendendangkan lagu-lagu ketika Muss bersama Wings iaitu dalam enam album, tetapi kali ini, ada buah tangan baharu yang menampilkan identiti Barbarik itu sendiri.
“Setiap konsert pasti mempunyai perbezaan dan terdapat elemen kejutan pada pembukaan, pertengahan dan penutup konsert. Kami memberi jaminan kepada peminat, konsert ini bakal menguji andrenalin secara total dari mula hingga akhir.
“Konsert bakal berlangsung selama dua jam dan kami akan mendendangkan sekitar 20 lagu, termasuk lagu lama dan baharu.
“Apa yang boleh dijanjikan adalah persembahan yang akan membuatkan penonton tidak berganjak walau sedikitpun,” katanya.
Penonton akan berpeluang menghayati rendisi lagu lagu baharu dan lama, gandingan legenda muzik rock, Muss dan Jobranko berserta Rozaimi, Ainol dan pemuzik undangan dalam persembahan selama dua jam.
Dijangka 20 lagu bakal dimainkan di pentas di mana penonton akan dibawa melewati garis masa era 1980an dan 1990an dengan lagu malar segar dalam segmen ‘Retro Akustika’ bersama barisan gitaris undangan, Shah Slam, Ujang Tukimon, Muzza dan JoBranko, diiringi lapan barisan ‘string octet’.
Konsert dibawakan oleh Karri Talk Production dan Pentas Barbarik Sdn Bhd selaku penganjur bersama.
Sumber – Kosmo! Online





