Saturday, April 11, 2026
HomeBERITAFenomena Gerhana Bulan Penuh Hiasi Langit Esok

Fenomena Gerhana Bulan Penuh Hiasi Langit Esok

PETALING JAYA – Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh bermula pukul 5.50 petang hingga pukul 9.17 malam esok.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa), fenomena ini merupakan satu-satunya gerhana bulan penuh pada tahun ini dan gerhana bulan penuh seterusnya hanya akan berlaku pada 31 Disember 2028.

“Gerhana bulan fasa separa (U1) bermula pada pukul 5:50 petang dan seterusnya memasuki fasa penuh (U2) pada 7:04 malam dengan kemuncak gerhana (GE) pada 7:33 malam.

“Fasa penuh akan tamat pada 8:02 malam dan memasuki fasa separa (U3) kembali sehingga pukul 9:17 malam,” katanya dalam kenyataan.

Secara keseluruhan gerhana ini mengambil masa kira-kira lima jam 39 minit, manakala fasa gerhana bulan penuh berlangsung hampir 58 minit.

Di kebanyakan kawasan Semenanjung, bulan akan terbit dalam fasa penuh dan berkemungkinan sukar dilihat dengan keadaan langit senja yang masih agak terang.

Mysa berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai peluang lebih tinggi untuk mencerap fenomena gerhana ini kerana bulan terbit lebih awal dan berada pada sudut lebih tinggi.

Di Kuala Lumpur katanya, ketinggian bulan akan berada pada dua darjah dari ufuk di timur pada ketika kemuncak gerhana.

“Fenomena gerhana penuh kali ini turut boleh dilihat di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah.

“Di Asia Tengah dan sebahagian besar kawasan Amerika Selatan pula hanya terjadi gerhana bulan separa,” katanya.

Gerhana bulan terjadi apabila bumi berada pada kedudukan antara matahari dan bulan menyebabkan bayang-bayang bumi menutupi bulan.

Mysa memberitahu, orang ramai bahawa gerhana bulan ini boleh dilihat dengan mata kasar (bergantung kepada keadaan cuaca).

Bagaimanapun, penggunaan binokular atau teleskop akan membantu untuk melihat fenomena ini dengan lebih jelas.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Terima Kasih Daddy, Awak Sentiasa Di Sisi – Watie

0
PETALING JAYA – Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib, Watie Hanafiah bersyukur dikurniakan pasangan hidup yang banyak membantunya sepanjang tempoh menjaga anak mereka, Akira...

CATEGORIES