Wednesday, July 1, 2026
HomeTRAVELAirAsia MOVE Tambah Empat Rakan Kongsi Penerbangan Langsung Baharu Pada Suku Kedua...

AirAsia MOVE Tambah Empat Rakan Kongsi Penerbangan Langsung Baharu Pada Suku Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 29 JUN 2026 – AirAsia MOVE (MOVE), aplikasi tempahan perjalanan terkemuka di Asia, memperluas ketersambungan globalnya pada suku kedua tahun 2026 dengan penambahan empat rakan kongsi penerbangan langsung baharu iaitu Oman Air, Uzbekistan Airways, FitsAir dan Hainan Airlines. Langkah ini sekali gus memperkukuh pilihan perjalanan merentasi Timur Tengah, Asia Tengah, Asia Selatan serta China, di samping menawarkan pilihan yang lebih luas dan akses terus ke destinasi-destinasi baharu yang semakin popular.

Penambahan ini mencerminkan keyakinan syarikat penerbangan yang semakin meningkat terhadap MOVE sebagai saluran pengedaran pilihan untuk mendekati para pengguna melalui platform yang sedang berkembang pesat di rantau ini. MOVE terus memperluaskan inventori penerbangan yang merangkumi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan tambang rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia MOVE, Nadia Omer berkata: “Tren perjalanan di rantau Asean sedang berkembang pesat dengan pengembara kini mencari pilihan yang lebih luas dalam satu platform tunggal. Sebagai OTA (Agensi Pelancongan Dalam Talian) yang mengutamakan penerbangan, usaha memperluas penawaran rangkaian kami merupakan teras kepada misi syarikat kami. Kejayaan meraih kepercayaan syarikat penerbangan utama seperti Oman Air, Uzbekistan Airways, FitsAir dan Hainan Airlines, terutamanya di sebalik cabaran makroekonomi dan ketidaktentuan pasaran yang berterusan, adalah bukti kukuh terhadap kekuatan komersial ekosistem MOVE serta tahap ketercapaian serantau buat rakan kongsi kami.”

Setiap kerjasama baharu ini membuka koridor perjalanan baharu yang bermakna buat para pengguna MOVE. Oman Air menawarkan ketersambungan premium ke Kesultanan Oman dan rangkaian globalnya yang lebih luas. Uzbekistan Airways pula membuka laluan ke Asia Tengah melalui Tashkent, sekali gus memanfaatkan minat pengembara yang semakin meningkat terhadap destinasi rangkaian Laluan Sutera. FitsAir memperkukuh ketersambungan mampu milik antara Kuala Lumpur dan Colombo, dengan akses seterusnya ke Lahore, Dubai, Dhaka dan Chennai. Sementara itu, Hainan Airlines, yang merupakan salah satu syarikat penerbangan perkhidmatan penuh terbesar di China, memperluas akses domestik China dari hab mereka di Haikou, Beijing, Chongqing, Shenzhen dan Xi’an dengan laluan antarabangsa merentasi Asia, Eropah dan Amerika Utara.

Melalui penambahan terbaharu ini, MOVE terus mempertingkat jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada strategi serantau yang lebih luas untuk menawarkan pilihan penerbangan tanpa tandingan di Asia dan destinasi lain.

Oman Air, Uzbekistan Airways, FitsAir dan Hainan Airlines kini menyertai 75 syarikat penerbangan global terkemuka lain yang telah bekerjasama secara langsung dengan MOVE. Melengkapi perkongsian langsung ini, MOVE turut menawarkan pilihan kira-kira 700 syarikat penerbangan lain melalui pembekal sah untuk dipilih oleh para pengembara. Selain penerbangan, platform MOVE juga menyediakan akses kepada lebih sejuta hotel, pengangkutan lapangan terbang, tarikan pelancongan, pembelian barangan bebas cukai dalam talian, insurn perjalanan dan banyak lagi.

Syarikat penerbangan yang berminat untuk disenaraikan di platform OTA MOVE boleh melayari pautan ini untuk maklumat lanjut dan menghantar butiran berkaitan.

Untuk perkembangan dan maklumat terkini, ikuti @airasiamove di Instagram & TikTok. Muat turun aplikasi ini di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery untuk menikmati pengalaman tempahan yang lancar dan lebih baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Martinelli Jadi Wira Brazil, Tewaskan Jepun 2-1 Untuk Mara Ke Pusingan...

0
HOUSTON: Jaringan dramatik Gabriel Martinelli pada masa kecederaan memastikan Brazil menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia di Houston, sekali gus...

CATEGORIES