ISKANDAR PUTERI – Malaysia berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran menjadi Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030 meskipun berdepan ketidaktentuan global disebabkan konflik Asia Barat.
“Biarpun berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Asia Barat, sektor ekonomi digital dijangka mencapai sumbangan 30 peratus kepada KDNK menjelang 2030.
“Setakat ini, kita masih berada di landasan yang tepat dan perlu membuat persiapan yang perlu sekiranya ada sebarang kesan yang mungkin menjejaskan misi tersebut di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Wilayah Selatan dI Menara IIB, di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan Malaysia giat melaksanakan Pelan Tindakan AI Kebangsaan bagi mencapai aspirasi menjadi Negara AI menjelang 2030, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, bakat, tadbir urus, infrastruktur serta pelaburan mampan.
Aspirasi tersebut bukan sekadar berkisar pada kemajuan teknologi, tetapi turut melibatkan pembinaan ekosistem menyeluruh yang menggabungkan dasar, bakat, infrastruktur, kepercayaan digital dan pelaburan strategik supaya Malaysia mampu muncul sebagai hab AI serantau.
Gobind berkata, kementerian juga sedang mengkaji kesan yang bakal dihadapi terhadap ekonomi digital selain, melakukan persediaan untuk dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang berlangsung, setiap minggu.
Ditanya mengenai kesan konflik Asia Barat terhadap sektor digital termasuk pembangunan pusat data, Gobind berkata, ia masih diteruskan dan berada di landasan yang tepat.
“Ada juga projek yang sudah mula beroperasi dan ada yang dalam proses dibina selain ada yang masih dalam proses memuktamadkan perjanjian dan sebagainya. Jadi, ianya diteruskan seperti biasa,” katanya.
Tambahnya, kementerian turut mencadangkan MDEC untuk mengadakan kolaborasi dengan pihak industri, agar dapat mengenal pasti teknologi baharu yang digunakan pada masa hadapan dan melaksanakan persediaan untuk kearah itu.
“Teknologi sentiasa berubah, kita tidak mahu keadaan di mana apabila ada ataupun wujudnya teknologi baru yang boleh membantu kita, kita tidak bersedia untuk menggunakan teknologi tersebut,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





