KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengulangi pendirian agar peranti rokok elektronik atau vape wajar diharamkan sepenuhnya susulan kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘Piu Piu’.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia kerana penggunaan kini disalahgunakan secara meluas oleh sindiket pengedaran dadah sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
”Isu utama pada masa ini bukanlah sama ada vape itu merupakan satu peluang perniagaan untuk golongan tertentu atau tidak, tetapi telah disalahgunakan secara berbahaya dengan dicampurkan bersama dadah baharu atau bahan kimia psikoaktif.
”Ia (vape) juga sudah menjadi satu kebanggaan kepada remaja, jadi kita perlu sekat gejala ini dari awal. Banyak negara luar telah pun mengharamkannya, oleh itu Malaysia juga perlu mempunyai kehendak politik untuk membanterasnya,” katanya pada sidang akhbar dalam Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-219, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, keputusan mengharamkan penggunaan peranti berkenaan melibatkan bidang kuasa lain seperti Kementerian Kesihatan.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus melaksanakan pemantauan dan operasi berskala besar secara berterusan, termasuk ke atas premis jualan vape bagi menyekat penularan dadah terbaharu berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ayob menegaskan, PDRM khususnya Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan terus mengambil tindakan terhadap anggota dan pegawai mereka yang didapati bersekongkol dengan sindiket dadah.
“Sebelum ini, tidak dinafikan kita juga pernah tahan pegawai kanan polis yang juga merupakan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah negeri di Pantai Timur kerana terlibat dadah. Tindakan sudah pun diambil,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan JSJN menahan enam lelaki termasuk pembekal vape disyaki mengandungi dadah susulan penularan beberapa video di media sosial memaparkan individu berada dalam keadaan khayal selepas menghisap vape secara keterlaluan, baru-baru ini.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan vape yang dikhuatiri menjadi medium normalisasi budaya penyalahgunaan bahan terlarang serta gaya hidup tidak sihat.
Sumber – KOSMO! ONLINE





