KUALA LUMPUR: Kedudukan ranking skuad Harimau Malaya meningkat semula dengan naik tiga anak tangga, kini berada di kedudukan ke-135 dunia.
Menurut perkongsian yang dimuat naik oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, badan induk itu memaklumkan bahawa ranking terkini anak buah Kim Pan-gon telah naik dari tangga ke-138 sebelumnya.
“Kemas kini terbaru ranking FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) hari ini menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-135 dunia, naik tiga anak tangga berbanding kedudukan ke-138 pada kemas kini sebelumnya, 4 April 2024,” kata FAM.
Kenaikan ranking ini didorong oleh prestasi memberangsangkan skuad Harimau Malaya dalam dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada awal bulan ini.
Dalam perlawanan tersebut, skuad negara seri 1-1 dengan Kyrgyzstan di tempat lawan sebelum menang 3-1 menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Walaupun berjaya mengutip empat mata dalam dua aksi terakhir Kumpulan D, skuad negara tidak layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 setelah hanya menduduki tangga ketiga kumpulan, di belakang Oman dan Kyrgyzstan.
Walaupun impian ke Piala Dunia tidak tercapai, pasukan kebangsaan masih mempunyai misi untuk layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut. Mereka akan menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada Mac tahun depan.
Selepas ini, pasukan kendalian Pan-gon akan menyertai Pestabola Merdeka dan Piala AFF yang dijadualkan berlangsung pada September dan November ini.
Kedua-dua kejohanan tersebut penting untuk memastikan kedudukan ranking Harimau Malaya terus meningkat dan agar mereka berada dalam balang satu menjelang undian Kelayakan Piala Asia 2027 nanti.
Sumber: Buletin TV3





