London: Bintang bola sepak sensasi dari Portugal, Cristiano Ronaldo kini secara rasmi mencapai status bilionair, satu lagi pencapaian luar biasa dalam kerjaya atlet yang dianggap sebagai antara yang paling terkenal di dunia.
Selepas melanjutkan kontraknya bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, kontrak mega Ronald yang merangkumi lebih daripada sekadar gaji dan bonus meletakkannya sebaris dengan gergasi dalam dunia perniagaan sukan.
Walaupun Ronaldo melepasi angka satu bilion dolar (RM4.27 bilion) dalam jumlah pendapatan sepanjang kerjayanya sejak 2020, beliau kini telah mencapai nilai bersih sebanyak 1 bilion dolar AS (RM4.27 bilion), menurut laman celebritynetworth.com.
Ia hasil kerjaya penuh dengan perjanjian penajaan menakjubkan, termasuk perjanjian seumur hidup bernilai besar bersama Nike, yang mengukuhkan kedudukannya antara pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia.
Sebagai individu dengan pengikut terbanyak di platform media sosial Instagram, lanjutan kontraknya di Al-Nassr menjanjikan bayaran luar biasa sebanyak USD 700 juta (RM2.99 bilion) dalam tempoh dua tahun sekali gus memecahkan rekod miliknya sendiri sebagai kontrak tahunan tertinggi dalam sejarah sukan.
Kontrak tersebut turut merangkumi bonus penandatanganan sebanyak 48 juta dolar (RM205 juta) serta pemilikan saham sebanyak 15% dalam kelab Al-Nassr.
Kelab ini berada di barisan hadapan dalam usaha besar-besaran bola sepak Saudi untuk melonjak ke tahap lebih tinggi dalam arena bola sepak global.
Pemilikan saham Ronaldo dalam kelab yang diwakilinya ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai wajah utama projek bola sepak Saudi menjelang penganjuran Piala Dunia FIFA 2034.
Ronaldo juga mengatasi saingan utamanya, Lionel Messi, yang dianggarkan memiliki nilai bersih sebanyak 850 juta dolar (RM3.63 bilion) selepas menyertai kelab Inter Miami dalam Major League Soccer dengan perjanjian mega tersendiri.
Ronaldo turut mengatasi pendapatan pemilik Inter Miami dan legenda penajaan bola sepak, David Beckham, yang nilai bersih keseluruhannya sepanjang kerjaya dan perniagaan pasca-persaraan dianggarkan sekitar 600 juta dolar (RM2.56 bilion).
Namun begitu, Ronaldo masih belum dapat menandingi Faiq Bolkiah yang secara meluas dianggap sebagai pemain bola sepak profesional terkaya di dunia.
Faiq ialah anak saudara kepada Sultan Brunei, salah seorang individu terkaya di dunia. Dia mengetuai pasukan kebangsaan Brunei dan kini bermain untuk kelab Ratchaburi dalam liga utama Thailand, dengan nilai bersih dianggarkan sebanyak 20 bilion dolar AS (RM85 bilion) hasil kekayaan luar biasa keluarganya.
– Sumber Harian Metro





