PHILADELPHIA, Amerika Syarikat: Kesatuan pemain bola sepak global, FIFPro menyeru supaya masa rehat separuh masa dipanjangkan pada Piala Dunia tahun depan bagi mengurangkan kesan panas melampau, sambil menyatakan cabaran yang dihadapi pemain pada Piala Dunia Kelab sepatutnya menjadi “amaran keras” kepada FIFA.
Keadaan cuaca sering kali mencabar pemain pada Piala Dunia Kelab susulan panas terik di kebanyakan kawasan di Amerika Syarikat (AS), dengan beberapa jurulatih pasukan bertanding mengadu mengenai kesukaran yang dicetus oleh suhu tinggi itu.
Dengan Piala Dunia 2026 di Amerika Utara semakin hampir, kajian FIFPro memberi amaran enam daripada 16 gelanggang bagi kejohanan tahun depan berisiko “amat tinggi” menyebabkan kecederaan akibat tekanan haba kepada pemain – termasuk Miami, salah satu bandar tuan rumah Piala Dunia Kelab.
“Kejohanan ini mungkin menjadi amaran keras untuk semua pihak melihat semula jadual perlawanan pada kejohanan akan datang,” kata Alexander Bielefeld, pengarah dasar dan hubungan strategik FIFPro.
Banyak perlawanan sepanjang Piala Dunia Kelab berlangsung pada tengah hari waktu tempatan atau jam 3 petang.

Pemain Atletico Madrid, Marcos Llorente mengadu keadaan adalah “mustahil, panas yang amat dahsyat” selepas pasukannya tewas 0-4 di tangan Paris Saint-Germain dalam suhu terik di Pasadena.
“Kami ada beberapa kejohanan yang perlu diteliti dari segi ini,” tegas Bielefeld, dengan Piala Dunia tahun depan kini menjadi kebimbangan utama, selain kejohanan 2030 yang dijadualkan berlangsung pada musim panas mencabar di Sepanyol, Portugal dan Maghribi.
Setiausaha agung organisasi itu, Alex Phillips berkata FIFPro sudah mengadakan perbincangan dengan FIFA, badan induk bola sepak dunia, mengenai mengelak bermain pada waktu paling panas di beberapa gelanggang tertentu.
Namun beliau mengakui mereka tidak mempunyai kuasa jika contohnya, FIFA memilih untuk mengadakan perlawanan awal petang di AS bagi memenuhi siaran utama di Eropah.
“Itulah yang sebenarnya berlaku pada kejohanan ini. Kami ada membuat permohonan supaya tiada sepak mula pada masa tertentu, tetapi kami tiada kuasa veto,” kata Phillips.
Sumber – AFP





