Badminton Malaysia Perlu Lakukan Sesuatu Sebelum Tertinggal Jauh – Chong Wei

0
307

Kuala Lumpur: Lee Chong Wei berkata dia “rasa seperti berputus asa” terhadap sukan badminton di Malaysia dan memberi amaran menjelang Sukan Olimpik bahawa perubahan “drastik” diperlukan untuk menyelamatkan sukan itu di negara ini.

Legenda badminton Malaysia itu bersuara selepas negaranya tewas 0-3 kepada China pada perlawanan akhir pertandingan lelaki di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Kuala Lumpur, kelmarin.

China jauh lebih hebat walaupun tidak menurunkan pasukan terkuat mereka. India menjulang kejuaraan untuk wanita ketika pasukan tuan rumah kandas di suku akhir.

Kejohanan itu menawarkan mata ranking ke Sukan Olimpik Paris musim panas ini.

“Saya tahu perkara yang benar itu menyakitkan, tetapi saya fikir badminton Malaysia hanya akan terus merosot jika tiada apa-apa yang dilakukan,” kata Chong Wei dipetik sebagai berkata daripada akhbar The Star.

“Sekarang saya rasa seperti berputus asa dengan badminton Malaysia,” tambah Chong Wei yang bersara pada 2019 selepas karier gemilang merangkumi tiga pingat perak Sukan Olimpik dan tiga pingat perak Kejohanan Dunia.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, pihak yang bertanggungjawab dengan sukan badminton di Malaysia perlu lebih berusaha untuk memperkenalkan barisan pemain muda.

“Kami perlu membuat beberapa perubahan drastik,” tambah bekas pemain berusia 41 tahun itu.

“Jika tidak, kita akan ketinggalan, ketinggalan jauh, dan badminton tidak lagi menjadi antara sukan terbaik negara ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here