KUALA TERENGGANU: Selepas membelasah kelab Brunei, DPMM FC minggu lalu, pemain Terengganu FC (TFC) kian ‘bernafsu’ untuk melakar kemenangan ke atas Selangor FC pada aksi keempat Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.
Jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkata, anak buahnya kini berada dalam momentum terbaik untuk mencatat kemenangan ketiga dalam saingan liga setakat ini.
Jelasnya, kehadiran semula ‘ayam tambatannya’ Gabriel Silva atau lebih mesra dipanggil ‘Gabi’ yang sudah pulih daripada kecederaan hamstring bakal menambah lagi bisa pasukannya.
Bagaimanapun jurulatih berusia 49 itu menuntut anak buahnya agar berwaspada dengan kebangkitan skuad The Red Giants yang pasti menunggu mangsa bagaikan ‘harimau luka’ selepas tumpas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC awal minggu ini.
Pada masa sama jurulatih kelahiran Kemaman itu turut mengingatkan anak buahnya agar berusaha meledak jaringan awal bagi meningkatkan lagi motivasi mereka sepanjang 90 minit perlawanan.
“Selangor FC sudah pasti mahu bangkit daripada kekalahan tempoh hari, jadi tidak dapat tidak kita perlu berwaspada lebih-lebih lagi beraksi di tempat mereka selain kualiti yang ada dalam kalangan pemain skuad itu.
“Tapi itu atas kertas, beraksi di padang ia skrip berbeza, saya berkeyakinan dengan motivasi tinggi pemain yang masih segar atas kemenangan besar 5-0 menumpaskan DPMM FC, pemain mampu bermain dengan baik.
“Harapan saya agar corak permainan mengasak bermula pada minit awal permainan lagi dapat diteruskan kerana jaringan awal penting buat pasukan untuk meningkatkan lagi keyakinan mereka sebagaimana ketika meledak gol seawal 11 saat ketika menentang kelab Brunei,” katanya selepas sesi latihan pasukannya di Pusat Latihan TFC, petang semalam.
Sumber: Berita Harian





