WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berharap untuk bertemu semula dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mungkin dalam tahun ini, ketika beliau mengadakan pertemuan rasmi yang agak canggung dengan Presiden Korea Selatan yang baharu, Lee Jae Myung, di Rumah Putih.
Beberapa jam sebelum kedatangan Lee untuk lawatan pertamanya yang telah lama dirancang, Trump menimbulkan kontroversi apabila memuat naik kenyataan di media sosial yang mengecam apa yang disifatkannya sebagai “Pembersihan atau Revolusi” di Korea Selatan.
Ia dipercayai merujuk kepada serbuan ke atas gereja-gereja dan penyokong politik konservatif.
Namun, ketika mesyuarat berlangsung di Pejabat Oval, Trump menepis kritikannya sendiri dengan berkata, “Saya pasti ini hanya salah faham,” dan menambah, “ada khabar angin yang berlegar.”
Trump menyatakan bahawa beliau dan Jae Myung – seorang pemimpin progresif yang menyokong pendekatan diplomatik terhadap Korea Utara – berkongsi pandangan yang sama dalam isu berkenaan.
Trump, yang pernah bertemu Jong Un sebanyak tiga kali dalam penggal pertamanya, memuji hubungan peribadinya dengan pemimpin autoritarian muda itu dan berkata: “Saya kenal dia lebih baik daripada sesiapa, mungkin kecuali kakaknya.”
“Suatu hari nanti saya akan jumpa dia. Saya menantikan pertemuan itu. Dia sangat baik dengan saya,” kata Trump kepada wartawan, menyatakan hasratnya agar rundingan itu berlaku tahun ini.
Trump sebelum ini pernah berkata bahawa beliau dan Jung Un “jatuh cinta” selepas pertemuan mereka, yang ketika itu menurunkan ketegangan namun gagal menghasilkan perjanjian kekal.
Kini, Jung Un semakin berani selepas konflik di Ukraine, yang mendapat sokongan penting daripada Russia selepas menghantar ribuan tentera Korea Utara untuk berperang di sana.
Korea Utara kini enggan berbincang tentang penamatan program senjata nuklear mereka, walaupun tekanan dan sekatan berterusan dikenakan.
Sementara itu, dalam ucapannya selepas mesyuarat, Jae Myung memberi amaran bahawa Korea Utara kini berpotensi menghasilkan 10 hingga 20 senjata nuklear setahun serta peluru berpandu yang mampu menyerang AS.
Beliau juga menyeru pendekatan damai, termasuk langkah seperti menghentikan siaran mesej anti Jung Un menerusi pembesar suara di sempadan ketenteraan.
Jae Myung dipilih sebagai presiden pada Jun lalu selepas pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol yang lebih bersifat konfrontasi, susulan pengisytiharan darurat tentera yang mencetuskan kemarahan awam.
Trump dipercayai merujuk kepada siasatan terhadap sekutu-sekutu Suk Yeol dalam komennya mengenai “pembersihan” politik.
Perdagangan dan Tentera AS di KoreaSelepas perbincangan, syarikat Korean Air mengumumkan akan membeli lebih 100 pesawat daripada pembuat pesawat AS, Boeing, selaras dengan tekanan Trump terhadap sekutu untuk menyokong ekonomi Amerika.
Trump juga memberi isyarat bahawa beliau mahu tuntutan pampasan yang lebih besar daripada Korea Selatan berhubung kehadiran 28,500 tentera AS di negara itu.
Beliau menyarankan bahawa AS mungkin mahu mengambil alih hak milik tanah yang menempatkan pangkalan tentera mereka, satu cadangan yang dijangka menimbulkan kemarahan kalangan progresif di Korea Selatan.
“Kita berbelanja besar untuk membina kubu itu, dan ada sumbangan dari Korea Selatan, tetapi saya ingin lihat jika kita boleh tamatkan pajakan dan ambil alih tanah tersebut,” katanya.
Sumber: Berita Harian (AFP)





