Azeem Tak Sangka Terpilih Beraksi Di Olimpik Paris 2024

0
758

Surabaya: Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi mengakui meremang selepas mengetahui dia akan beraksi di Sukan Olimpik 2024 melalui slot ‘wild card’.

Pemegang rekod kebangsaan acara 100-meter (m) itu berkata dia masih hilang kata-kata, meskipun sudah bersedia untuk menerima apa sahaja pengumuman daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai slot ke temasya di Paris itu.

“Saya bersyukur dan hilang kata-kata, masih meremang mendengar pengumuman tentang Paris. Saya tidak menyangka akan mendapat tiket ke Sukan Olimpik 2024. Sebenarnya, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima apa sahaja keputusan daripada Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Jadi apabila berita itu positif, ini adalah peluang terbaik untuk saya terus berkembang dan meningkatkan prestasi diri. Ini peluang yang amat baik untuk karier saya,” katanya ketika ditemui di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), hari ini.

Terdahulu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memutuskan untuk memberikan slot ‘wild card’ kepada Azeem Fahmi bagi beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Shahidan dalam satu sidang media khas di Parlimen, hari ini.

Keputusan ini menyaksikan Azeem mengatasi pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy, yang turut menjadi calon untuk diberikan wild card ke Paris.

Sementara itu, Shereen mengakui dia menerima keputusan KOM yang memilih Azeem untuk slot ‘wild card’ ke Sukan Olimpik 2024, menyatakan bahawa Azeem layak mendapat slot tersebut.

Namun, Shereen, yang baru sahaja memenangi pingat emas 400m wanita di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, bertekad untuk terus meningkatkan prestasinya di masa hadapan.

“Sebagai atlet, tentu saya ingin ke Sukan Olimpik dan kita sudah bekerja keras. Tetapi jika tidak ada peluang itu, saya akan terus bekerja keras dan bangkit dengan lebih kuat tahun depan.

“Sesiapa yang mendapat slot itu memang layak menerimanya, jadi saya tidak akan kecewa dengan keputusan itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here