CADANGAN pengambilalihan AirAsiaX Bhd (AAX) ke atas perniagaan penerbangan Capital A Bhd jika dimuktamadkan dijangka dapat mengurangkan tambang penerbangan, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai terbang bersama AirAsia.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, inisiatif tambang lebih rendah yang dapat ditawarkan itu selaras dengan penjimatan kos operasi sehingga 15 peratus yang bakal diperoleh menerusi penggabungan AAX.
“Banyak manfaat yang bakal diperoleh apabila AAX digabungkan dengan kumpulan penerbangan Capital A. Yang jelas, ia memberi kekuatan kepada AirAsia itu sendiri. Armada pesawat bertambah di mana AAX turut memerlukan pesawat badan sempit AirAsia dan begitulah sebaliknya (pesawat badan lebar AAX).
“Saya menjangkakan pengambilalihan AAX ke atas perniagaan penerbangan kumpulan juga akan memberi nilai tambah kepada pelanggan kami. Ia akan mengurangkan tambang dan kos operasi juga lebih jimat. Saya mengharapkan perkembangan positif dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) AAX,” katanya pada sidang media pasca EGM Capital A, di sini, semalam.
AAX akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini untuk pemegang saham mengundi cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti Capital A Bhd dalam perniagaan penerbangan AirAsia Aviation Group Limited dan AirAsia Bhd.
Cadangan pengambilalihan itu ditetapkan untuk membawa operasi jarak pendek dan sederhana di bawah satu kumpulan penerbangan.
Sementara itu, Tony berkata, Capital A menyasarkan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebagai hab penerbangan mega nombor satu dunia menjelang 2030, meletakkan Malaysia sebagai pusat peneraju penerbangan tambang rendah utama global.
Katanya, bagi merealisasikan sasaran itu perniagaan penerbangan kumpulan akan meningkatkan operasi berperingkat kepada 78 pesawat, 258 penerbangan sehari dan 105 destinasi tahun hadapan.
Beliau berkata, cadangan pengambilalihan AirAsia X Bhd (AAX) ke atas perniagaan penerbangan Capital A jika dimuktamadkan dijangka mempercepatkan sasaran menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab mega utama global.
“Kami memerlukan rakan kongsi untuk mencapai sasaran ini. Sama ada sasaran ini dapat dicapai lebih awal bergantung kepada sokongan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports dan cadangan pengambilalihan oleh AAX dimuktamadkan.
“Saya amat berharap pemegang saham AAX dapat melihat visi saya ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro





