Beijing: Seorang lelaki China yang baru berkahwin sanggup berulang alik ke tempat kerja, dengan menempuh perjalanan pergi dan balik sejauh 320 kilometer (km) dan memakan masa enam jam setiap hari.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, video dimuat naik oleh Lin Shu, 31, di Douyin menunjukkan perjalanan hariannya.
Rutin harian Lin adalah bangun pada 5 pagi dan meninggalkan rumahnya di Weifang dekat wilayah Shandong di timur China, pada 5.20 pagi.
Dia menunggang e-motosikal selama 30 minit ke stesen untuk menaiki kereta api pada 6.15 pagi, sebelum tiba di Qingdao di bahagian timur Shandong pada 7.46 pagi.
Lelaki itu kemudian menaiki kereta api bawah tanah selama 15 minit untuk tiba di pejabatnya.
Dia mempunyai masa yang cukup untuk bersarapan di kantin syarikat sebelum mula bekerja pada 9 pagi.
Selepas bekerja, Lin mengambil masa tiga atau empat jam lagi untuk pulang ke rumah, iaitu meliputi jarak 160 km dari tempat kerjanya.
Netizen terkejut lelaki itu sanggup habiskan masa untuk perjalanan ulang-alik, tetapi Lin berkata, semuanya berbaloi kerana cinta.
Lin menjalin hubungan selama tujuh tahun sebelum mereka berkahwin pada Mei lalu.
Dia pernah tinggal di flat yang disewa sejam dari tempat kerjanya tetapi sanggup berulang-alik kerana mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama isterinya, selain kos penginapan yang lebih mahal untuk flat di Qingdao.
Sumber : Hmetro





