New Delhi: Lelaki berusia 80 tahun di India yang diisytiharkan sudah meninggal dunia hidup semula selepas ambulans yang dinaikinya melanggar lubang.
India Times melaporkan, doktor mengisytiharkan Darshan Singh Brar sudah meninggal dunia, dan ‘mayatnya’ dibawa dari Patiala ke rumahnya di Karnal.
Bagaimanapun, ketika ambulans berada berhampiran perkampungan Dhand di Kaithal Haryana, ia melanggar lubang dengan kuat, dan cucunya, Balwan memerhatikan tangan Brar bergerak.
Anggota paramedik melakukan pemeriksaan dan mendapati ada degupan jantung dan lelaki berusia 80 tahun itu dikejarkan ke hospital terdekat.
Doktor mengesahkan Brar, seorang pesakit jantung itu masih hidup.
Brar kemudian dirujuk ke hospital di Nising, dari Hospital NP Rawal di Karnal.
Keadaan warga emas itu dilaporkan agak teruk, namun keluarga menganggap ia satu keajaiban selain berharap lelaki itu segera sembuh.
“Setiap berkumpul untuk meratapi pemergiannya mengucapkan tahniah kepada kami.
“Dengan izin Tuhan datuk kini bernafas, dan kami berharap dia akan sembuh,” katanya.
Sumber: Harian Metro




