BERLIN – Seorang doktor penjagaan paliatif (doktor yang memberikan tumpuan kepada penjagaan dan kesejahteraan pesakit yang menghidap penyakit serius) di Berlin didakwa atas pertuduhan membunuh 15 pesakitnya, menurut kenyataan pihak pendakwa raya pada Rabu yang mendakwa suspek bertindak atas dorongan ‘nafsu untuk membunuh’.
Suspek lelaki berusia 40 tahun itu didakwa membunuh 12 wanita dan tiga lelaki antara September 2021 hingga Julai 2024 dengan menggunakan campuran dadah penenang yang membawa maut.
Menurut laporan media Jerman, suspek dikenali sebagai Johannes M., namun pihak pendakwa belum mendedahkan nama rasmi suspek.
Pendakwa raya Berlin dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa doktor tersebut ‘menyuntik anestetik dan bahan pelali otot kepada pesakit, tanpa pengetahuan atau keizinan mereka’.
Dadah pelali itu dipercayai ‘melumpuhkan otot pernafasan, menyebabkan kegagalan pernafasan dan menyebabkan kematian dalam beberapa minit’.
Kesemua mangsa berusia antara 25 hingga 94 tahun dan sedang menerima rawatan ketika kejadian.
Pendakwa turut mendedahkan bahawa dalam lima insiden, suspek bertindak membakar rumah mangsa bagi menghapuskan bukti jenayah.
Dalam satu kejadian pada 8 Julai 2024, suspek didakwa membunuh dua pesakit dalam satu hari iaitu seorang lelaki berusia 75 tahun di Kreuzberg pada waktu pagi, dan seorang wanita berusia 76 tahun di Neukoelln beberapa jam kemudian.
Cubaan untuk membakar tempat kejadian kedua gagal apabila api tidak merebak, dan suspek kemudian menghubungi ahli keluarga mangsa dengan mendakwa tiada siapa menjawab panggilannya di hadapan pintu rumah mangsa.
Dalam satu lagi kejadian, suspek dikatakan sendiri menghubungi perkhidmatan kecemasan ‘kerana takut perbuatannya terbongkar’ dan mendakwa kononnya telah memulakan usaha menyelamat, walaupun mangsa akhirnya meninggal dunia tiga hari kemudian.





