PETALING JAYA: Pelakon, Ika Nabella, mendedahkan kewujudan segelintir penerbit ‘hidung belang’ yang sanggup mengambil kesempatan terhadap pendatang baharu dengan meletakkan syarat tidak bermoral demi menawarkan watak utama dalam slot popular televisyen.
Menurut Ika atau Ika Nabila Abdul Rahim, 36, pengalaman itu dilaluinya sendiri kira-kira 17 tahun lalu, ketika masih hijau dan baru bertatih dalam dunia seni lakonan tanah air.
“Ini sisi gelap industri. Seorang penerbit pernah mengajak saya ‘dating’ dengan ayat, ‘you kata nak jadi heroin Akasia’. Dia tidak tahu saya jenis ‘hati kering’.
“Alhamdulillah, saya tidak pernah ‘dating’ dengan mana-mana penerbit. Allah izinkan rezeki saya tetap melimpah dan wajah saya terus keluar di televisyen secara berturut-turut,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Pelakon drama Bahagia Bukan Bidaan itu berkata, prinsip yang dipegang teguh serta keyakinan terhadap bakat sendiri menjadi benteng daripada terjebak dengan permainan kotor industri, selain percaya kepada rezeki.
“Bukan Akasia sahaja, semua slot saya sudah rasa. Sebut sahaja slot apa, semua pernah. Rezeki itu Allah yang izinkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ika yang kini lebih banyak menumpukan perhatian terhadap keluarga mengakui rindu untuk kembali ke set penggambaran selepas beberapa tahun memperlahankan kerjaya seni.
“Sejak jadi ibu, memang sibuk menguruskan keluarga. Tetapi sekarang saya rasa sudah bersedia untuk kembali berlakon,” ujarnya.
Terdahulu, Ika membuat pendedahan itu susulan respons terhadap perkongsian rakan artis, Adrianna Adnan, yang mendakwa ada pihak memintanya mencipta kontroversi demi kekal relevan dalam industri.
Menurut Adrianna, segelintir pemain industri cenderung memilih artis yang kerap mendapat liputan media, tular serta mempunyai kadar penglibatan tinggi di media sosial berbanding bakat semata-mata.
Sumber – UTUSAN





