Kerap tampil dengan lagu bernada tinggi, penyanyi terkenal, Aina Abdul kini tampil dengan sisi yang berbeza selepas menghasilkan dua single terbaharu yang lebih tenang dan santai untuk disampaikan.
Muncul dengan lagu Berjauh-an dan Sadis, Aina menegaskan dia tidak akan sesekali melupakan identiti serta DNA muzik yang telah membentuk namanya dalam industri.
Menurut Aina, perubahan yang dilakukan bukanlah kerana mahu meninggalkan kekuatan vokal dan elemen balada yang sinonim dengan dirinya, sebaliknya usaha untuk mengembangkan lagi spektrum muzik dalam berkarya.
“Saya tidak akan lupakan DNA dan identiti muzik saya. Cuma saya harap anda semua bersabar kerana saya ini seorang penyanyi yang tidak biasa menyanyi tinggi sepanjang masa.
“Saya pun akan letih kalau menyanyi tinggi sentiasa. Kalau tengok perjalanan saya, setiap tahun nota yang saya nyanyikan semakin tinggi. Jadi graf itu sentiasa meningkat.
“Tahun ini saya mahu ubah strategi. Mungkin notanya tidak terlalu tinggi, tetapi perasaannya lebih berat dan mendalam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah penyanyi lagu Sepi itu, dia percaya setiap fasa dalam karier memerlukan pendekatan berbeza, malah perlu berkembang mengikut peredaran masa tanpa mengorbankan apa yang telah dibina sejak awal pembabitannya dalam industri.
“Saya sangat menghargai pendengar yang sentiasa menyokong saya. Saya sayang anda semua. Namun dalam masa yang sama, saya juga mengimpikan untuk mempunyai lebih ramai pendengar baharu.
“Saya percaya dalam industri ini, kita semua perlu berkembang. Saya juga mahu berkenalan dengan lebih ramai orang melalui muzik saya. Saya juga mahu menarik pendengar generasi baharu.
“Saya perlu memahami apa yang mereka suka dengar dan apa yang dekat dengan jiwa mereka. Apa yang saya lihat, generasi sekarang sangat menghargai mesej yang jujur dan mudah difahami. Jika mesej itu sampai dengan baik, saya percaya lagu tersebut akan diterima,” kongsinya.

Tidak takut peminat lama sukar terima perubahan
Mahu keluar dari zon selasa, Aina mengakui perubahan arah muzik yang dibawanya mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminatnya apatah lagi jika dipertandingkan di mana-mana pentas berprestij.
Namun, dia tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana percaya kejujuran dalam berkarya lebih penting daripada memenuhi jangkaan sesetengah pihak.
“Kalau kita bercakap tentang pertandingan seperti AJL atau AIM, ramai yang beranggapan seseorang penyanyi perlu mencapai nata tertentu untuk memenangi anugerah.
“Tetapi kalau kita lihat penyanyi seperti Amir Jahari, Ana Raffali dan Yuna, mereka mampu menyampaikan emosi yang sangat kuat tanpa perlu menjerit atau menyanyi terlalu tinggi.
“Bagi saya, semua itu subjektif. Apa sahaja genre yang dibawa, jika cerita dan mesejnya datang dengan kejujuran, saya harap orang ramai dapat merasainya. Itu sudah cukup. Kemudian orang yang tepat akan datang dan meminati lagu tersebut,” jelasnya.
Mengulas penerimaan terhadap lagu Sadis, Aina berkata dia berasa bersyukur apabila karya hasil kerjasama komposer yang berasal dari Indonesia, Vega Antares tersebut berjaya menarik perhatian kelompok pendengar yang sebelum ini tidak mengikuti perjalanan seninya.
“Setakat ini saya sangat gembira dengan penerimaan terhadap Sadis. Terus terang saya cakap, saya tidak pernah ada begitu ramai orang menggunakan lagu saya di TikTok sehingga mencecah ribuan video.
“Mungkin orang nampak yang indah-indah sahaja seperti AJL dan AIM, tetapi saya juga ada perjuangan saya sendiri. Kali ini saya rasa orang benar-benar cuba menerima saya.
“Ada juga yang sebelum ini tidak suka saya, tetapi selepas mendengar Sadis, mereka mula menyukai saya. Itu satu perubahan yang baik dan saya sangat bersyukur,” ujarnya.
Sumber – Utusan





